SEREMBAN - Kementerian Pendidikan mahu guru bahasa
Inggeris mempertingkatkan kemahiran penguasaan bahasa tersebut hingga mencapai
tahap C2 dalam sistem penarafan Common European Framework of References for
Languages (CEFR).
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, langkah
itu bagi memastikan standard pengajaran dan pembelajaran bahasa berkenaan di
negara ini setaraf dengan peringkat antarabangsa.
‘‘Setakat ini, kira-kira 20,000 guru atau 52 peratus yang
mengajar bahasa Inggeris telah mencapai tahap C2 dan C1 dalam sistem penarafan
CEFR.
‘‘Justeru, Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC) akan
menjadi platform kepada golongan pendidik untuk memperkasakan penguasaan
sekali gus diberi latihan membangunkan program dan bahan pengajaran dan
pembelajaran berimpak tinggi,’’ katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas
merasmikan Kampus ELTC dan Kolokium Program Imersif Tinggi (HIP) dekat sini
hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk
Chong Sin Woon; Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad serta
Pengarah ELTC, Dr. Mohamed Abu Bakar.
Menurut Mahdzir, penubuhan kampus ELTC adalah selaras
dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) untuk melahirkan
murid yang profisien dalam bahasa Inggeris sekali gus mampu bersaing di peringkat
antarabangsa.
Katanya, kampus tersebut juga merupakan satu-satunya
institusi di bawah Kementerian Pendidikan yang dipertanggungjawabkan untuk
menerajui sistem pendidikan bahasa Inggeris di negara ini.
‘‘Kementerian juga telah mewujudkan program yang
berasaskan penguasaan bahasa Inggeris seperti HIP yang mampu meningkatkan
kemahiran bahasa itu melalui penggunaan dan penguasaannya dan Program
Dwibahasa (DLP).
‘‘Setakat ini sebanyak 5,000 buah sekolah telah
melaksanakan program HIP manakala 1,200 sekolah lagi menggunakan program DLP,’’
katanya. – Utusan Online
Comments
Post a Comment