Istiadat Adat Berkodin Aur Serumpun - Adat dan Pusaka Cik Nur Syafiqah Sulaiman

 بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

.

BATANG PILAH, 14 MAC 2021 . 30 REJAB 1442H . AHAD

Penyempurnaan Istiadat Adat Berkodin Aur Serumpun / Adat dan Pusaka Cik Nur Syafiqah Sulaiman, individu yang dikodinkan dilaksanakan dengan penuh adat dan istiadat, hari ini.

.

.

Cik Nur Syafiqah Sulaiman dari Suku Tanah Datar 80 Perut To’ Ambek masuk ke Suku Selemak Minangkabau Perut To’ Pandak Pilah. Kemasukan ke Suku Selemak Minangkabau adalah kerana niat si ibu angkat, Puan Sharimah Shaari meletakkan nama anak angkatnya yang dipelihara sejak baru dilahirkan dan bakal berusia 21 tahun iaitu mewariskan 1/3 dari harta tanah pusakanya.

.

Terdahulu, bertarikh 13 Mac 2021 bersamaan 29 Rejab 1442H, hari Sabtu telah berlangsungnya penyembelihan seekor lembu jantan oleh Suku Tanah Datar 80 bagi penyempurnaan dan simbolik istiadat di samping mengadakan keraian bahawa berlaku peristiwa kodin dan pengisytiharan masuk ke suku yang baharu.

.

Terlibat di dalam Istiadat Adat Berkodin Aur Serumpun / Adat dan Pusaka ini ialah dari Suku Tanah Datar 80 dan Suku Selemak Minangkabau.

.

Peristiwa dan kejadian Istiadat Adat Berkodin ini berlangsung penuh tertib adat.

.

1.     Ketibaan YM Dato’ Senara Muda Haji Ramli Haji Abdul Rahman, Dato’ Lembaga Suku Selemak Minangkabau merangkap Tiang Balai Luak Ulu Muar berserta isteri, YBhg. Che Puan Hajjah Saharmunah Sujak ke teratak kejadian Istiadat Adat Berkodin. Beliau berdua di sambut dan diarak oleh anak buah dan diiringi oleh alunan ‘tentuang’ yang dimainkan oleh Kelab Seni Budaya Warisan Bangsa Negeri Sembilan.

.

2.     Di halaman teratak Istiadat, YM Dato’ Lembaga Suku Selemak Minangkabau dan YBhg. Che Puan isteri disambut oleh Buapak Suku Selemak Minangkabau Perut Datuk Pakdak Pilah, To’ Orang Kaya Haji Bahari Haji Ibrahim kemudiannya masuk ke teratak berlangsungnya istiadat adat.

.

3.     Di dalam teratak, YM Dato’ Lembaga Suku Selemak Minangkabau dan YBhg Che Puan isteri, disambut oleh YM Dato’ Lembaga Suku Tanah Datar 80, YM Dato’ Perdana Nordin Saleh dan YBhg Che Puan isteri, Che Puan Jamilah binti Abd Rashid dan To’ Kaya Menteri Saiful Zaman Maarif, Buapak Suku Tanah Datar 80.

.

Bukan kaya di emas nan bertahil

Bukan kaya di ringgit nan berbilang

Bukan kaya di padi nan bersukat

Bukan kaya di kain nan berhasta

.

Tapi kaya di Adat

Kaya di Pusaka

Kaya di budi dan bahasa

.

4.     Kehadiran YM Dato’ Lembaga Suku Selemak Minangkabau dan YBhg Che Puan isteri berserta YM Dato’ Lembaga Suku Tanah Datar 80 dan YBhg Che Puan isteri dijamu dengan juadah hidangan oleh tuan rumah.

.

5.     Sejurus limabelas (15) minit, ketibaan rombongan Suku Tanah Datar 80 yang diketuai oleh To’ Pangeran Abd Wahab Omar, Buapak Suku Tanah Datar 80 Perut Tok Ambek membawa Cik Nur Syafiqah Sulaiman, anak angkat yang hendak dikodinkan ke teratak istiadat (rumah ibu angkatnya) membawa Masmanah dan penyerahan iringan berbentuk senaskah  Al-Quran, sepasang kain putih dan hitam, sepasang telekung, bunga pahar dan wajik.

.

6.     Majlis istiadat dimulakan oleh YM To’ Paduka Menti Kamaruzaman Hussin, Besar Waris Suku Selemak Minangkabau Perut Datuk Putih Parit Luar Luak Ulu Muar sebagai Pemudahcara Istiadat.

.

Kok ke langit samo dibentangkan

Kok ke bumi samo ditadahkan

Kok tulang samo diputihkan

Kok darah samo merah eh

.

Terbang nan menguak dahan

Hinggap nan mencengkam batang

.

Jadi pada hari nan sehari ini

Seuri, setemuniankito

.

Se elakkan pusat

Pusako samo dipeliharo

Sesungguhpun datar ia bertentu

.

Berumpuk-umpuk bak serai

Beruang-ruang bak durian

Berlopak-lopak bak sawah

Berpuak-puak bak kobau

Berumpuk sorang satu berharta masing-masing

.

Hak orang jangan diambik

Hak kito jangan diagih

.

Dokek rumah

Dokek kampung

Sehalaman sepermainan

Seperigi sepergiliran

Sejamban seperulangan

.

Boleh pintak memintak

Sakit poning jonguk menjongok

.

Dikoba baik berimbauan

Dikoba buruk berhamburan

.

7.     Kemudiannya, To’ Pangeran Abd Wahab Omar, Buapak Suku Tanah Datar 80  di minta menghadap To’ Orang Kaya Haji Bahari Haji Ibrahim, Buapak Suku Selemak Minangkabau memperkenal dan menyerahkankan anak buah sukunya, Cik Nur Syafiqah Sulaiman.

.

8.     Setelah dijelaskan tujuan dan sebab penyerahan Cik Nur Syafiqah Sulaiman kepada To’ Orang Kaya Haji Bahari Haji Ibrahim, Buapak Suku Selemak Minangkabau, maka, To’ Orang Kaya Haji Bahari Haji Ibrahim mengumumkan hajat tersebut kepada anak-anak buah Suku Selemak Minangkabau yang hadir, sama ada menerima atau tidak kemasukan Cik Nur Syafiqah Sulaiman ke Suku Selemak Minangkabau.

.

9.     Setelah menerima persetujuan dari anak-anak buah sesuku, maka To’ Orang Kaya Haji Bahari Haji Ibrahim dan Ibu Soko Suku Selemak Minangkabau; Puan Hajjah Bedah Haji Isa membawa Bujam Epok bagi sembah menghadap  di hadapan YM Dato’ Lembaga Suku Selemak Minangkabau merangkap Tiang Balai Luak Ulu Muar, memperkenalkan anak buah baharu, iaitu Cik Nur Syafiqah Sulaiman.

.

10. Setelah menyatakan tujuan dan sebab kemasukan ke Suku Selemak Minangkabau, Cik Nur Syafiqah Sulaiman, maka sesi bersoal jawab antara YM Dato’ Lembaga Suku Selemak Minangkabau dan Cik Nur Syafiqah berlangsung.

.

Kemudiannya, YM Dato’ Lembaga menitipkan kata-kata nasihat buat anak buah baharu sukunya seterusnya mengumumkan penerimaan tersebut.

.

11. Seterusnya Istiadat Adat Berkodin Aur Serumpun / Adat dan Pusaka Cik Nur Syafiqah Sulaiman bermula.

.

11.1.     To’ Orang Kaya Haji Bahari Haji Ibrahim, Buapak Suku Selemak Minangkabau menghiris limau nipis dan memerahnya ke dalam mangkuk tepung tawar dan kulit perahan limau di letakkan ke mangkuk darah lembu (sirap merah).

.

11.2.     Bersaksikan YM Dato’ Lembaga Suku Selemak Minangkabau dan YM Dato’ Lembaga Suku Tanah Datar 80 serta pembesar-pembesar adat dan seresam, To’ Orang Kaya Haji Bahari Haji Ibrahim, Buapak; Puan Bedah Haji Isa (Ibu Soko), Cik Nur Syafiqah Sulaiman (yang dikodinkan) dan Puan Sharimah Shaari (ibu angkat) mencecahkan jari masing-masing ke dalam mangkuk tepung tawar dan mangkuk darah (sirap merah) sebagai simbolik ‘cecah darah’ kemasukan Cik Nur Syafiqah Sulaiman ke Suku Selemak Minangkabau. Turut menyaksikan peristiwa itu, ayah angkat Cik Nur Syafiqah Sulaiman iaitu Encik Sulaiman Baharudin, suami kepada Puan Sharimah Shaari.

.

11.3.     Sejurus selesai mencecah jari ke mangkuk tepung tawar dan mangkuk darah (sirap merah), Cik Nur Syafiqah Sulaiman bersama ibu angkatnya Puan Sharimah Shaari diminta menghadap dan diperkenalkan kepada YBhg Che Puan isteri Dato’ Lembaga Suku Selemak Minangkabau, YBhg. Che Puan Hajjah Saharmunah Sujak.

.

12. Sementara, YM Dato’ Senara Muda Haji Ramli Haji Abdul Rahman, YM Dato’ Lembaga Suku Selemak Minangkabau merangkap Tiang Balai Luak Ulu Muar membaca dan menyemak Watikah Pengisytiharan Berkodin Aur Serumpun / Adat dan Pusaka seterusnya menerangkan kepada anak-anak buah yang hadir apa yang dimaksudkan dengan Istiadat Berkodin Aur Serumpun.

.

Setelah semakan dilakukan, maka buapak, yang dikodinkan dan ibu angkat menandatangani watikah tersebut.

.

13. Setelah ditandatangani oleh ketiga-tiganya, maka tandatangan terakhir oleh YM Dato’ Senara Muda Haji Ramli Haji Abdul Rahman, YM Dato’ Lembaga Suku Selemak Minangkabau. Kemudiannya, YM Dato’ Lembaga menurunkan Cop dan Mohor Dato’ Lembaga.

.

14. Setelah ditandatangani dan menurunkan Cop dan Mohor Dato’ Lembaga, YM Dato’ Senara Muda Haji Ramli Haji Abdul Rahman membaca Watikah Pengisytiharan Istiadat Adat Berkodin Cik Nur Syafiqah Sulaiman.

.

Selesai watikah di baca, maka sah dan terzahirlah penerimaan Cik Nur Syafiqah Sulaiman ke Suku Selemak Minangkabau.

.

15. Selesai pengisytiharan oleh YM Dato’ Lembaga Suku Selemak Minangkabau, maka berlangsung pula Istiadat penyerahan masmanah dan barangan iringan dari To’ Pangeran Abd Wahab Omar, Buapak Suku Tanah Datar 80 berupa Senaskah Al-Quran (Adat bersendi hukum dan kitabullah), Sepasang kain putih dan hitam (Adat diiringi penuh adab dan budi sebagai tanda hati penuh suci dan keikhlasan penuh muafakat. Manakala hitam tanda taat setia kepada YM Dato’ Lembaga  sebagai yang punya pusaka) beserta penyerahan masmanah kepada To’ Orang Kaya  Haji Bahari Haji Ibrahim, Buapak Suku Selemak Minangkabau.

.

16. Kemudian, disusuli penyerahan masmanah dari To’ Orang Kaya Haji Bahari Haji Ibrahim, Buapak Suku Selemak Minangkabau kepada YM Dato’ Senara Muda Haji Ramli Haji Abdul Rahman, YM Dato’ Lembaga Suku Selemak Minangkabau merangkap Tiang Balai Luak Ulu Muar.

.

17. Dan penyerahan masmanah kepada dua orang ibu soko dari Suku Tanah Datar 80 dan Suku Selemak Minangkabau.

.

Tangan diangkat separuh bahu

Kata mulia disusun jua

Kepada Allah memohon restu

Agar majlis dilimpah kurnia

.

18. Mengakhiri Istiadat Adat Berkodin Aur Serumpan / Adat dan Pusaka bacaan doa oleh Al-Fadil Ustaz Abu Zahar, Imam Surau Kampung Batang Pilah, Senaling. Ianya sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT di atas perjalanan dan perancangan Istiadat Adat yang telah berlangsung dengan jayanya.

.

Kata adat

Dipupuk bugar

Disiram segar

Dianjak layu

Dicabut mati

.

.

.

Semakan oleh

YM Dato’ Senara Muda Haji Ramli Haji Abdul Rahman

YM Dato’ Lembaga Suku Selemak Minangkabau merangkap

Tiang Balai Luak Ulu Muar

.

Pemudah Cara Istiadat

To’ Paduka Menti Kamaruzaman Hussin

Besar Waris Suku Selemak Minangkabau

Perut Datuk Putih Parit Luar

Luak Ulu Muar

.

Disediakan oleh :

Dudi Aziz

Mediagrapher (penulis, jurugambar dan perakam video)

Comments