TELOK KEMANG - Seramai 93,473 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah didaftarkan di bawah Program Enforcement Card (E-Kad) yang dilaksanakan sejak 15 Februari lalu bagi membolehkan mereka digaji semula secara sah oleh majikan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 85,467 E-Kad dikeluarkan kepada PATI yang melibatkan 14,541 majikan.
Walau bagaimanapun, beliau berkata, masih ramai majikan tidak mendaftarkan PATI yang bekerja dengan mereka dan dipercayai menunggu saat-saat akhir untuk berbuat demikian.
“Sehingga 18 Mei lalu, seramai 93,473 PATI sudah didaftarkan dan ini jauh daripada sasaran kita iaitu antara 400,000 hingga 600,000 orang PATI. Pekerja dan majikan perlu mengambil peluang mendaftar dengan segera kerana tempoh pendaftaran yang berakhir pada 30 Jun nanti tidak akan dilanjutkan. Prosesnya mudah dan tidak ada sebab untuk mereka tidak mendaftar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai Imigresen Gred KP19 Siri 2 Tahun 2017 yang melibatkan 244 pegawai di Port Dickson, di sini hari ini.
E-Kad berfungsi sebagai pengesahan sementara bagi menggantikan dokumen perjalanan sah dan hanya melibatkan lima sektor ekonomi yang memerlukan pekerja asing iaitu pembinaan, perladangan, perkhidmatan, perkilangan dan pertanian.
E-Kad hanya sah sehingga 15 Februari tahun depan dan dalam tempoh berkenaan PATI serta majikan perlu mendapatkan pasport dan dokumen perjalanan yang sah dari kedutaan masing-masing bagi tujuan pemutihan.
Dalam pada itu, Mustafar berkata, sepanjang tempoh pendaftaran, operasi penguatkuasaan akan dilakukan secara berterusan dan majikan yang berdegil bakal dikenakan tindakan tegas.
“Sejak 1 Januari sehingga 18 Mei lalu, sebanyak 5,944 operasi dijalankan di seluruh negara dan seramai 63,421 warga asing diperiksa manakala 18,176 PATI ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen,” katanya.
Beliau berkata, tangkapan itu melibatkan warga Indonesia seramai 6,834 orang, Bangladesh (3,634), Myanmar (1,719), Filipina (1,292), Thailand (1,182), Vietnam (831), Nepal (693) dan 1,991 (lain-lain negara).
Menurutnya, seramai 499 majikan yang melibatkan 430 warga tempatan pula telah ditahan kerana kesalahan menggaji, melindungi dan membenarkan PATI tinggal di premis mereka yang boleh didakwa di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010)(ATIP SOM).
Dalam perkembangan lain, Mustafar menafikan laporan agensi berita luar negara yang mendakwa ada tahanan dalam kalangan PATI meninggal dunia akibat didera di pusat tahanan Imigresen di negara ini.
“Saya tegaskan sebelum ini bahawa kematian itu berpunca daripada penyakit yang dialami oleh tahanan tersebut. Apabila tahanan ini kita tangkap, mereka membawa penyakit bersama misalnya, penyakit tibi.
“Kematian tahanan seramai 116 orang yang dilaporkan sejak 2011 sehingga tahun lalu adalah berpunca daripada penyakit yang dialami tahanan lebih awal dan bukan kerana didera dan sebagainya,” katanya.

Comments
Post a Comment