Negeri Sembilan Darul Khusus adalah sebuah negeri beradat
yang mengamalkan Adat Perpatih. Namun, pernahkah anda terfikir apa maksud
perkataan Darul Khusus dan asal-usul nama itu diberikan?
Kenapa Negeri Sembilan Digelar Dengan Nama Darul Khusus?
Sebenarnya penggunaan Darul ini telah mula diperkenalkan
oleh Kerajaan Kedah sejak tahun 1136M lagi. Gelaran Darul tersebut diberikan
oleh Syeikh Abdullah Al Qumairy. Beliau merupakan orang yang bertanggungjawab
mengislamkan Raja Kedah yang kesembilan, iaitu Maharaja Derbar/Durbar Raja II
yang ketika itu berkedudukan di Istana Bukit Meriam.
Di Negeri Sembilan penggunaan Darul Khusus bermula sejak
zaman pemerintahan Almarhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad
yang juga Yamtuan Negeri Sembilan ke-8 lagi. Darul Khusus bermaksud sebuah
negeri istimewa dan hebat dalam sesuatu tamadun yang besar dan tinggi,
khususnya dalam konteks Islam dan adat.
Kenapa Negeri Sembilan Digelar Dengan Nama Darul Khusus?
Almarhum juga berperanan menggerakkan amalan tasauf dan
suluk di negeri ini terutama di Seri Menanti melalui pintu masuk di Senaling
hingga ke dalam istana. Malah, Almarhum sendiri sering mengundang ulama untuk
datang ke istana. Perkembangan syarak begitu pesat hingga Senaling ke Seri
Menanti dianggap lubuk untuk orang belajar agama terutama bidang tasauf dan
suluk.
Pengkhususan dan kehebatan negeri ini dalam bidang agama
berjaya melahirkan beberapa tokoh guru terkenal. Ia termasuklah Lebai Maadah
Layang, Tuan Guru Haji Majid, Ustaz Jani, Ustaz Hasim Ghani, Tuan Haji Ahmad
Rembang Panas, Tuan Haji Ujang dan Tuan Haji Tahir.
Pada ketika itu juga wujud kepemimpinan Tuanku Besar
Burhanuddin yang begitu berminat khususnya dengan syarak dan akhirnya perkara
ini berkembang pesat di Seri Menanti. Perbahasan berkenaan syarak juga begitu
sihat dan berkembang pesat dan berjaya membentuk masyarakat yang kuat berpegang
pada agama.
Kenapa Negeri Sembilan Digelar Dengan Nama Darul Khusus?
Syarak dikiaskan seperti sebatang pokok yang berdiri
teguh dan mempunyai urat tunjang, dahan, ranting, daun dan akhir sekali pucuk.
Ini yang menjadikannya hebat. Kehebatan ini wujud pada zaman almarhum hingga
dipandang tinggi.
Bagi almarhum juga, nama “Sembilan” yang ada pada negeri
ini membawa maksud sembilan wali, sembilan pancaindera, sembilan kedudukan,
sembilan kawasan, sembilan keturunan dan sembilan raja. Paling khusus lagi pada
ketika itu amalan Adat Perpatih yang bertunjangkan syarak begitu teguh. Adat
dan syarak saling kukuh memperkukuhkan antara satu sama lain.
Dikatakan kehebatan almarhum ketika itu khususnya di
bidang agama mendorong Majlis Raja-Raja Melayu bermuafakat melantiknya sebagai
Yang di-Pertuan Agong pertama.
Sumber – Temubual Pengarah Institut Peradaban Melayu
Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Profesor Madya Datuk Dr Mohd Rosli
Saludin oleh Harian Metro. (Dipetik daripada artikel 5 Februari 2016) - www.orangnogori.com



Comments
Post a Comment