Seri Menanti Dilanda Angin Ribut

 


SERI MENANTI, 22 Mei – Seri Menanti dan beberapa kawasan sekitar dilanda angin ribut sebentar tadi, petang ini.

Beberapa kawasan awam, premis perniagaan dan kediaman penduduk kampung terkesan akibat angit kuat, di mana kelihatan pokok tumbang dan beberapa peralatan perniagaan diterbangkan angin tidak jauh dari kawasan premis.

Negeri Sembilan Online beroleh berita bergambar dari kumpulan Whatsapp N16 Seri Menanti yang di maklumkan oleh pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Azha Ahmad.

Menurut Azha Ahmad, gambar kejadian itu diperolehi dari penduduk kampung terlibat, Puan Siti Zulaika, yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Masjid DiRaja Tuanku Munawir.

Berdasarkan kepada berita bergambar yang dikongsi siar oleh beliau, di dapati Pasukan Bomba dan Penyelamat Seri Menanti sedang bertungkus lumus membantu membersihkan pokok tumbang di kawasan terjejas.

Seorang lagi pengguna Whatsapp N16 Seri Menanti yang dikenali sebagai Lynda Mey melaporkan, ketika ribut kuat melanda, beliau melihat sendiri pokok durian tumbang di hadapan rumahnya. 

Namun begitu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini. Orang awam dinasihatkan berada di kediaman masing-masing bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlaku dalam masa terdekat.

Ketika ini, cuaca tidak menentu, sekiranya diwaktu pagi cuaca amat cerah, ada kala tengahari sudah terlihat mendung kemudiannya hujan lebat tanpa henti sepanjang hari.

 

Wartawan Dudi Aziz

Kredit Gambar : Pengguna Whatsapp Azha Ahmad dan Lynda Mey

 

Comments