Curi kereta ketika melancong

PORT DICKSON - Sindiket mencuri kenderaan mewah yang dipercayai aktif di Lembah Klang berjaya ditumpaskan dalam satu operasi khas menyiasat kes curi sebuah kereta mewah Mercedes e250 pada 10 pagi, 28 April lalu yang dilaporkan di Lukut.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Adzli Abu Shah berkata, sindiket itu dipercayai menggunakan modus operandi datang ke daerah ini untuk melancong kemudiannya 'melencong' dan buat salah laku jenayah mencuri kereta mewah.

Menurutnya, tiga suspek lelaki berusia 26 hingga 35 tahun berjaya ditahan dalam dua serbuan berasingan di Cerberjaya, Selangor dalam tempoh kurang 24 jam selepas kecurian dilaporkan.

“Suspek membuat pengakuan datang ke Port Dickson untuk melancong, namun ambil kesempatan melakukan jenayah selepas mendapati ada kereta mewah dan ada peluang jenayah itu boleh dilakukan.

“Jenayah curi kereta Mercedes e250 itu dilakukan pada siang hari dan penghuninya ada di rumah, namun langsung tidak menyedari keretanya yang diparkir di garaj rumahnya dicuri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Bilik Operasi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, semalam.

Hadir sama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Port Dickson, Asisten Superintendan Polis Rujiman Ogus.
Adzli berkata, ketiga-tiga suspek ini dikenali sebagai Geng Kolo dan salah seorang suspek yang ditahan dipercayai ketua geng tersebut.

“Tangkapan pertama polis menahan dua suspek berusia 35 dan 26 tahun, turut dirampas sebuah kereta Mazda yang dilaporkan hilang di Bukit Jalil, jam tangan berjenama, smart tag dan pasport milik individu lain.

“Rentetan penahanan dua lelaki itu, sekitar jam 10.30 malam, 29 April, polis berjaya menahan seorang lagi suspek berusia 35 tahun dan turut membawa kepada penemuan kereta Mercedes e250,” katanya.

Ujarnya, ketiga-tiga suspek direman sembilan hari dan akan diserahkan kepada Polis Cheras berkaitan kes curi kereta dan jenayah lain membabitkan ketiga-tiga suspek sebaik tempoh reman tamat.

“Ketiga-tiga suspek mempunyai rekod jenayah lampau antara lima ke 12 kes membabitkan jenayah samun, pecah rumah, curi kenderaan, pergaduhan, pemilikan senjata api dan dadah,” katanya.

Tambah Adzli, suspek dilihat mempunyai kepakaran dalam melakukan jenayah terancang ini termasuk salah seorang daripada mereka mempunyai kemahiran komputer sementara dua lagi penganggur.

“Polis dapati, suspek profesional dalam melakukan jenayah ini.

“Salah seorang daripada suspek juga membuat pengakuan telah terlibat lebih kurang 20 kes jenayah pecah rumah.

“Dua daripada mereka didapati positif dadah,” katanya.

Comments