GEMAS - Dua lelaki kempunan memperoleh hasil jualan sawit curi apabila salah seorangnya berjaya ditangkap pekerja ladang dan anggota polis bantuan dalam kejadian di Kebun Sawit Ladang Sime Darby Sungai Kelamah, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, pekerja ladang dan anggota polis bantuan membuat pemerhatian ke kawasan ladang susulan menerima aduan daripada pihak pengurusan kebun berkenaan setelah menyedari timbangan hasil sawit yang berkurangan sejak 2 Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak berkata, ketika kejadian kedua-dua lelaki berkenaan iaitu pemandu lori berusia 31 tahun dan seorang lelaki warga Indonesia sedang leka memasukkan kira-kira 120 tandan sawit seberat 1.8 tan dengan nilaian RM1,044.
“Pekerja ladang dan polis bantuan berjaya menangkap pemandu lori berkenaan. Bagaimanapun lelaki Indonesia terbabit berjaya melarikan diri dan hasil siasatan mendapati, suspek mengaku sudah tiga kali melakukan kegiatan itu di ladang tersebut dengan bantuan empat lelaki.n
Hamazah berkata, syarikat tempat pemandu lori terbabit bekerja mempunyai kontrak dengan ladang sawit berkenaan sejak Julai tahun lalu dan hasil hanya dibenarkan diangkut keluar sekitar jam 8 pagi hingga 5 petang.“Susulan pengakuan ini, kita telah tangkap dua lagi lelaki berusia 27 dan 15 tahun yang sudah tidak bersekolah bagi membantu siasatan.
Manakala, dua lagi lelaki iaitu pelajar tingkatan tiga serta lelaki Indonesia sedang dijejaki polis,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurutnya, suspek yang positif ujian urin dadah jenis meth itu dan mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 324 kerana mendatangkan kecederaan telah menggunakan modus operandi mengangkut serta mengeluarkan buah sawit dari ladang tanpa kebenaran.
“Polis merampas sebuah lori dan dua batang besi pencucuk sawit. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan ketiga-tiga lelaki ditahan reman sehingga 13 Mei ini,” katanya.

Comments
Post a Comment