Kisahnya bermula dengan kucing jalanan

SEREMBAN - Perasaan kasihnya pada haiwan peliharaan kucing bermula selepas seekor kucing jalanan datang ke rumahnya tujuh tahun lalu.

Dari hanya seekor kucing yang dipeliharanya, kini Fairuz Abdullah, 43, dan isteri Rozita Harun, 46, memiliki 80 ekor kucing sehingga mendorong mereka membuka kedai haiwan peliharaan di Melaka.

Malah Fairuz merasakan dirinya seperti terkena ‘badi’ kucing kerana sehingga kini dia pantang melihat kucing terbiar yang akan dibawa pulang ke rumahnya.

“Dulu saya memang tak suka kucing, hanya isteri sahaja yang suka. Tapi ada seekor kucing ini selalu datang ke rumah saya dan dari situ saya terus jatuh cinta.

“Tapi sedihnya selepas seminggu saya jaga, kucing itu dilanggar kereta dan sejak itu saya macam kena ‘badi’ kucing. Dalam masa seminggu saya beli empat ekor kucing sebagai ganti dan pada masa sama saya ambil kucing-kucing jalanan yang cedera atau sakit.

“Lama-kelamaan kucing di rumah semakin banyak dan dari situ timbul idea untuk saya dan isteri buka kedai ‘petshop’ yang kini sudah beroperasi tiga tahun,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Pertandingan Kucing Antarabangsa 2017 di sini.

Pada pertandingan itu, kucing Fairuz diberi nama ‘Jongek’ mendapat tempat pertama bagi kategori Kucing Rumah Junior Bulu Pendek, manakala seekor lagi diberi nama ‘Bongek’ mendapat tempat kedua bagi kategori Kucing Rumah Buku Pendek Jantan.



Menurut Fairuz, dia tidak sangka Jongek yang ditemui dalam keadaan badannya dipenuhi kurap di sebuah kedai makan di Tampin beberapa tahun lalu membawa tuah kepadanya.

“Seingat saya ketika itu usianya dua bulan dan sekarang saya dah jaga dia lapan bulan. Jongek bukan sahaja manja dengan sesiapa, tapi juga lincah.

“Betullah cakap orang, layan kucing ini hilang tekanan. Bila difikir balik saya pun tak sangka, dari awal tak suka, saya dah ada berpuluh ekor kucing di kedai,”katanya.

Sementara itu kata Fairuz, kesemua 80 ekor kucing tersebut kebanyakannya bukan untuk dijual dan kos keseluruhan dari soal penjagaan dan makanan yang ditanggung setiap bulan ialah RM2,500.

Katanya, dia bersyukur kerana hasil perniagaanya boleh menampung kos tersebut dan menganggapnya sebagai rezeki.

“Ada yang cakap kucing ini pemberi rezeki dan Alhamdulillah, setakat ini rezeki kami tak pernah putus. Saya  juga bernasib baik kerana kedua-dua anak saya juga sukakan kucing.

“Untuk  mendapat kepuasan sejak tiga tahun lalu, saya bawa kucing-kucing saya menyertai pertandingan kucing dan biasanya kami tak kan balik dengan tangan kosong,” katanya. Sinar Online

Comments