Peneroka tidak puas hati

GEMAS - Lebih 50 peneroka Felda Jelai 2, di sini, berhimpun di laluan keluar hasil ladang berkenaan sejak jam 7 pagi hingga 2 petang, bagi menyatakan ketidakpuasan hati terhadap peningkatan lebih sekali ganda kos operasi per tan hasil sawit mereka.

Timbalan Biro Ladang Felda Jelai 2, Abu Mohd Lop, 63, berkata, potongan kos operasi yang dikenakan kepada peneroka sejak tiga bulan lalu terlampau tinggi, justeru mereka mendapat sokongan majoriti lebih 300 peneroka untuk penghantaran hasil bagi pusingan kedua dan seterusnya kepada pihak luar dan bukannya kepada Felda Technoplant.

Menurutnya, sebelum ini, peneroka telah berunding dengan pihak pengurusan Felda serta syarikat pengurusan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Rancangan (JKKR) dengan harapan agar kos operasi dikurangkan.

“Harapan peneroka minta berunding kurangkan dari RM200 lebih ke RM100 lebih saja. Apa yang saya harap pihak atasan dapat selesaikan masalah peneroka.

“Saya minta RM140 ke RM160 per tan hasil sawit sejak Mac lalu, tapi masalahnya tak ada keputusan hingga hari ini. Oleh sebab itu, saya mewakili peneroka yang rasa tersepit dengan bayaran yang begitu tinggi dan pendapatan rendah untuk mereka bawa keluar hasil dan jual sendiri,” katanya.

Abu berkata, walaupun menggunakan kaedah berkenaan tidak mendatangkan hasil lumayan, namun peneroka berpuas hati dapat menampung belanja bulanan berbanding membayar kos operasi yang keterlaluan.

“Bagi peneroka, kalau kebun dia bersih, peneroka tak kisah pun kos tinggi. Tapi sebaliknya, apabila kebun semak dan jalan tak baiki. Satu peneroka boleh dicas hingga RM2,000.. jumlah satu bulan bagi 446 peneroka jika dihitung hampir RM500,000 diberikan kepada Felda," dakwanya.

Bagi penolong pemantau Blok 3, Mohd Yusuff Abas, dia menginginkan pembaharuan kos operasi yang jauh lebih rendah berbanding kos operasi kini iaitu sebanyak RM240 hingga RM280 per tan.

“Dengan kos baru ni, nak makan pun tak cukup. Sebulan saya dapat RM1,100.  Perbelanjaan bulanan saya RM1,500. Mana nak ambil lagi RM400 tu. Nak bayar api, nak bayar air, nak makan semua tak cukup. Nak suruh rumah peneroka gelap, nak suruh peneroka ambil air sungai minum?

“Potongan kos operasi satu peneroka sampai RM1,000 lebih. Malah ada yang hampir RM2,000. Bayar banyak tapi hutang pakcik makin meningkat.  Sepatutnya makin bayar banyak makin kurang. Ini sebaliknya, kebun tak buat, racun pun tidak.. keadaannya semak.

Masalah berlanjutan tiga bulan

“Hutang pakcik dah jadi RM180,000...bukan sikit tu. Sampai anak cucu cicit pakcik tak boleh bayar,” katanya.

Manakala, bagi seorang lagi pemantau, Kashema Sulaiman, 67, dia tampil menyertai perhimpunan kerana tidak berpuas hati apabila masalah berkenaan berlarutan sehingga tiga bulan.

Menurutnya, kesemua peneroka kecewa lebih-lebih lagi harga sawit kini sudah turun dan pendapatan mereka juga semakin berkurangan.


Peneroka sepakat untuk menjual pusingan kedua hasil sawit buat pertama kali bukan kepada pihak pengurusan ladang iaitu Felda Technoplant.


“Ada yang terima RM700, RM800 sebulan.. kami nak makan apa? Tolonglah bertimbang rasa sikit. Bagi pihak pengurusan Felda... pandanglah kami yang di bawah ini?," katanya.

Manakala, Mahad Mahmud, 64, yang juga pemantau berharap agar pihak pengurusan Felda dapat mencapai kata sepakat menurunkan kos operasi per tan yang lebih bersesuaian.

“Sekarang potong satu tan dari RM240 hingga RM280. Kalau peneroka dapat hasil lebih enam tan dan jangkau lebih RM1,000 dikenakan pada peneroka. Belum masuk tolak bayaran BKS (Bayaran Kembali Sementara/Kos Sara Hidup) sebanyak RM300.

“Jadi yang tinggal kat saya adalah RM900, ada yang dapat RM1,000 lebih. Jadi kita tak puas hati dengan kos operasi yang baru ini,” katanya.

Pengurusan Felda Jelai 2 buat laporan polis

Sementara itu, Pengurus Felda Jelai 2, Abas Ali berkata, sejak Mac lalu pihaknya mengadakan mesyuarat JKKR bersama 20 pemantau mewakili 20 blok di Felda Jelai 2.

Menurutnya, dalam pertemuan berkenaan kesemua pemantau yang mewakili peneroka sepakat merayu untuk mendapatkan pengurangan kos operasi dan pihaknya kini dalam proses membuat rayuan kepada pihak pengurusan atasan Felda.

“Hari ini saya bersama pengurus Felda Teknoplant (FTP) dan ketua peneroka ke Ibu Pejabat Felda bagi membuat susulan permohonan rayuan kos operasi ladang dari Badan JKKR sebelum ini dengan pengurusan atasan. 

"Bagaimanapun, saya dimaklumkan satu demonstrasi telah dibuat sehingga mengganggu pihak pengurusan FTP Jelai 2 untuk menghantar hasil ke kilang.

“Oleh itu, saya meminta penyelia kanan pejabat Felda Jelai 2 untuk membuat laporan polis di Balai Polis Gemas tengah hari tadi (semalam). 

"Laporan dibuat susulan kumpulan peneroka telah mengganggu kerja-kerja pengurusan FTP dan juga mengganggu perjalanan proses rayuan yang sedang kami usahakan," katanya.
Abas berkata, tindakan berkenaan menyalahi peraturan dan perjanjian antara peneroka dan pengurusan Felda dalam urusan tanam semula dan pengurusan kebun.

“Memang tanah milik mereka (peneroka) tetapi hasil sawit adalah milik FTP,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Comments