PORT DICKSON - Usahawan tani muda disaran merebut peluang yang ditawarkan kerajaan melalui Fama dalam pelbagai kemudahan pinjaman bagi mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi.
Pengarah Fama Negeri Sembilan, Muslim Manja berkata, menerusi suntikan dana untuk agropreneur muda, kerajaan telah menyalurkan RM5 juta bagi mengukuhkan ekonomi usahawan tani di seluruh negara.
Menurutnya, daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya lapan usahawan tani muda Negeri Sembilan berpeluang memperoleh dana tersebut bagi mengembangkan perniagaan atau memulakan perniagaan baharu.
“Sejak Januari 2017 sehingga kini (Mei) masih belum ada usahawan tani muda yang memperoleh dana agroprenuer muda di negeri ini, bagaimanapun Fama telah menerima beberapa permohonan dan kertas kerja tersebut masih perlu ditambah baik.
“Usahawan tani muda di luar sana masih boleh kemukakan permohonan bantuan dana agropreneur muda melalui Fama, peluang masih terbuka luas,” katanya selepas majlis Perasmian Kursus Asas Kejurujualan Dan Keusahawanan Agromakanan di sebuah hotel, di sini.
Hadir menyempurnakan majlis, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan merangkap Adun Bagan Pinang, Datuk Tun Hairudin Abu Bakar.
Muslim berkata, tahun lalu, Negeri Sembilan menyalurkan dana tersebut kepada empat usahawan tani muda.
“Melalui kemudahan pinjaman yang disediakan, usahawan mampu meningkatkan daya saing selain membudayakan kreativiti dan inovasi di dalam model perniagaan mereka.
“Kita mahu usahawan di negara ini terus berkembang sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Tambahnya, dana agropreneur muda disalurkan dalam beberapa bentuk antaranya bantuan maksimum RM50,000 melalui pinjaman bayar mudah dalam tempoh lima tahun.
“Ada juga bantuan disalurkan dalam bentuk geran seperti pemberian mesin dan peralatan keusahawanan yang diperlukan, geran untuk pembungkusan serta perlebelan,” katanya.
Muslim memberitahu, seramai 50 peserta terdiri daripada usahawan dan individu yang baru berjinak dalam dunia keusahawanan menyertai Kursus Asas Kejurujualan dan Keusahawanan Agromakanan siri 1.
“Kursus ini diadakan untuk beri bimbingan kepada peserta dan akan diadakan sehingga siri ketiga,” katanya.
Kursus Asas Kejurujualan dan Keusahawanan Agromakanan siri 1 berlangsung dua hari bermula semalam.
Sinar Harian Online
Sinar Harian Online

Comments
Post a Comment