RM3,000 lebur begitu sahaja

PALONG - Sebuah rumah yang dalam pembinaan di Felda Palong Tiga, di sini, dirobohkan Pejabat Tanah dan Daerah Jempol apabila didapati didirikan atas tanah haram.

Pegawai Daerah Jempol, Zazali Salehuddin berkata, rumah dibina seorang peneroka Felda di kawasan itu terpaksa dirobohkan dalam satu tindakan bersepadu semalam.

“Tindakan itu dibuat setelah menerima aduan dan siasatan dijalankan selepas pihak berkuasa mendapati rumah berkenaan dibina secara haram di atas tanah seluas 0.1 hektar.

“Bagaimanapun, rumah itu belum siap sepenuhnya. Ia dibina beransur-ansur oleh peneroka terbabit sejak April lalu.
“Peneroka tersebut mendakwa tidak mengetahui tapak rumah berkenaan adalah tanah kerajaan yang dicerobohi tanpa menyedari tindakan itu satu kesalahan,” katanya di sini, semalam.

Walaupun kakinya kudung dari paras pinggang, Azlina tetap tabah menjaga suaminya yang kehilangan banyak memori.
Zazali berkata, pihaknya difahamkan peneroka terbabit telah membelanjakan sehingga RM3,000 membeli bahan binaan bagi membina rumah berkenaan.

“Hasil siasatan, rumah berkenaan dibina di atas tanah yang akan dimajukan Felda melalui projek perumahan mampu milik generasi baru Felda,” katanya.

Berikutan itu, pihaknya melaksanakan tindakan penguatkuasaan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 dengan merobohkan bangunan berkenaan oleh 50 petugas unit penguat kuasa Pejabat Tanah dan Daerah Jempol, Majlis Daerah Jempol (MDJL), Rela, Felda, JKR, polis dan Pejabat Tanah dan Galian Seremban.

“Kita tidak akan berkompromi dengan kes seumpama ini kerana mana-mana pencerobohan tanah milik kerajaan dan pesalah bakal berdepan hukuman denda RM500,000 atau penjara tidak kurang lima tahun atau kedua-duanya.

“Kita nasihatkan orang ramai, jika mahu meneroka sesuatu tanah perlu mendapatkan kesahihan mengenai pemilikan tanah bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” katanya.

Comments