SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan menafikan berlakunya kenaikan cukai taksiran bagi penduduk di Seremban seperti didakwa pembangkang baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Jalaluddin Alias berkata, sebaliknya apa yang berlaku ialah penilaian semula cukai taksiran premis kediaman oleh Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di kawasan perumahan lama yang berusia 34 tahun, khususnya ke atas premis yang telah melakukan pengubahsuaian.
Kali terakhir cukai taksiran bagi kawasan itu disemak ialah pada 1983, kata pada sidang media di sini, hari ini bagi mengulas dakwaan pembangkang bahawa akan berlaku kenaikan cukai taksiran di dalam daerah ini, berkuat kuasa Julai depan.
Beliau menjelaskan ia hanya melibatkan penambahan cukai taksiran terhadap premis yang telah diubah suai dan bukannya kenaikan cukai.
"Pihak MPS harus jelaskan kepada semua pemilik harta mengapa ada penambahan jumlah nilai taksiran kerana kenaikan dan penambahan merupakan perkara yang berbeza dan sebarang kenaikan mesti mendapat kebenaran kerajaan negeri," katanya.
Jalaluddin berkata, terdapat 43 taman perumahan yang berusia 34 tahun di daerah ini yang melibatkan 3,131 premis.
"Kesemuanya sudah dibuat semakan dan daripada jumlah itu, 1,261 buah premis didapati telah melakukan pengubahsuaian dan ini memerlukan penilaian cukai taksiran yang baharu," katanya.
Beliau menjelaskan kawasan perumahan baharu tidak terlibat dengan semakan nilai taksiran itu, sambil menegaskan isu itu sengaja dimainkan pembangkang menjelang pilihan raya umum akan datang. - Bernama

Comments
Post a Comment