Port Dickson: Bunyi tiupan seruling seorang pemuda bukan
saja syahdu, malah menyentuh jiwa pengunjung bazar Ramadan di Batu 4, di sini,
sepanjang bulan ini.
Seruling dimainkan Noramry Mohamad, 29, atau Amri
menerusi aktiviti busking bagi mencari dana membantu golongan kurang bernasib
baik khususnya anak yatim di sekitar daerah ini.
Berbekalkan seruling, sebuah beg, pembesar suara dan
bekas duit, Amri memulakan aktiviti busking solo sambil meniup seruling
mengalunkan irama yang dinamakan ‘Busking Ramadan’.
“Kedatangan Ramadan membuatkan orang ramai berebut-rebut
menghulurkan bantuan kepada mereka memerlukan. Jadi, saya mengambil inisiatif
menggunakan bakat saya meniup seruling untuk membantu menggembirakan anak yatim
hasil sumbangan orang ramai di bazar Ramadan sekitar Port Dickson.
“Alhamdulillah, hanya meniup seruling mengikut kemampuan
masa dan tenaga, sambutan diterima menggalakkan. Sepanjang Ramadan, saya akan
busking di tiga tempat dalam seminggu iaitu di Batu 4, Giant Lukut dan bazar
Ramadan Taman Politeknik,” katanya yang juga kakitangan Pejabat Tanah dan
Galian Port Dickson.
Amri berkata, dia sudah mengumpulkan dana RM1,010 bagi
empat kali busking di bazar Ramadan sebelum membuat penyerahan bantuan kepada
anak yatim menjelang Aidilfitri.
“Setiap sumbangan disalurkan sepenuhnya kepada anak yatim
piatu sama ada dalam bentuk barangan atau wang tunai. Ini juga sebagai platform
orang ramai menghulurkan bantuan.
“Mungkin ada yang menyangka saya hendak meminta sedekah,
tetapi sebenarnya saya membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

Comments
Post a Comment