REMBAU – 'Uwan menangis bila tengok tempat masak hampir
roboh," luah Johari Mohamad Amin, 76 yang bimbang apabila tebing sungai di
belakang rumahnya di Kampung Kota Pekan, di sini runtuh dan menyebabkan bangsal
dapurnya berisiko dihanyutkan arus deras.
Warga emas itu berkata, dia telah lama mendiami
penempatan berkenaan, namun kejadian tebing sungai runtuh baru pertama kali
dialaminya dan begitu membimbangkan.
Katanya, dia terkejut apabila diberitahu suaminya, Abdul
Khadir Manap, 81, bangsal dapur tempat mereka memasak sempena perayaan dan juga
kenduri hampir roboh.
"Wan cakap dengan anak-anak cepatlah buat aduan.
Risau bangsal ini dihanyutkan arus deras sekiranya hujan terlalu lebat.
“Sebelum ni tak pernah runtuh tapi tebing sungai ada
mendap sedikit. Pagi tadi mungkin sebab
hujan terlalu lebat terus tebing sungai ini runtuh dan tanah di tebing ini juga
sudah tidak kuat serta bahaya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Sementara itu, Pengerusi JKKK Kota Pekan, Jahaya Awang
berkata, dia ada menerima aduan daripada penduduk mengenai masalah berkenaan
dan tiga minggu lalu, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ada turun
padang bagi meninjau keadaan sungai berkenaan.
Menurutnya, kerja-kerja membersihkan sungai telah
dilakukan dan bagi masalah tebing sungai berisiko untuk runtuh pula, ianya
sudah dalam pengetahuan JPS.
“Bagaimanapun, pihak JKKK berharap agar JPS akan dapat
mempercepatkan kerja-kerja baik pulih tebing tanah sungai yang runtuh bagi
mengelakkan runtuhan lebih teruk berlaku sekiranya hujan lebat berulang,”
katanya.

Comments
Post a Comment