PORT DICKSON - Penduduk kariah Linggi menerima berita
gembira berganda, mereka bukan sahaja menerima perkhabaran bangunan masjid
telah siap di bina dan telah diserahkan kepada jawatankuasa masjid mereka juga
menerima perkhabaran yang mana Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan
(JHEAINS) telah memberi kebenaran khas untuk warga Linggi menunaikan solat
sunat Aidilfitri di masjid itu 1 Syawal nanti.
Pengerusi Masjid Kariah Linggi, Md Izzuddin Mohd Shah
berkata, pembinaan masjid yang menelan kos RM1.75 juta itu meleraikan penantian
penduduk kampung tersebut untuk mempunyai masjid baharu.
"Alhamdulillah permohonan yang dikemukakan kepada
pihak berkuasa untuk kita mengimarahkan masjid baru ini dengan ibadah solat
sunat Aidilfitri dibenarkan oleh JHEAINS.
"Serentak itu JHEAINS juga membenarkan permohonan
jawatankuasa masjid untuk warga Linggi mengadakan solat sunat malam atau
qiammullail pada Jumaat malam Sabtu, malam terakhir Ramadan," katanya.
Md Izzuddin berkata, dengan adanya masjid baharu ini,
jemaah akan lebih selesa dalam menjalani ibadah dan sebarang aktiviti di masjid
ini.
"Masjid baharu ini boleh menampung jemaah sehingga
500 orang jemaah dalam satu-satu masa dan turut dilengkapi dengan kemudahan
bilik mesyuarat, ruang pengurusan jenazah serta kemudahan infra yang mesra
orang kurang upaya (OKU).
"Warga Linggi termasuklah anak perantauan Linggi
juga menzahirkan kesyukuran dan keterujaan yang lebih istimewa untuk pulang ke
kampung pada Aidilfitri kali ini kerana mereka akan menunaikan solat di masjid
baru," katanya.
Md Izzuddin berkata, dalam kegembiraan menerima masjid
baharu, warga Linggi juga jauh di lubuk hati terpahat rasa sayang kepada masjid
lama Linggi, Majid Warisan Linggi.
"Masjid ini telah 137 tahun berbakti kepada ahli
kariah, menyimpan banyak nilai sejarah, ada nilai sentimental tersendiri dan
juga telah banyak menerima manfaat peruntukan pembangunan samaada baik pulih
atau naik taraf daripada kerajaan.
"Bangunnya masjid lama ini juga hasil sumbangan
wakaf masyarakat ketika itu justeru itu jawatankuasa masjid telah memikirkan
beberapa alternatif agar masjid lama ini dapat terus disemarakkan dan bukannya
ditinggalkan begitu sahaja.
"Ini untuk menjaga kepentingan para pewakaf-pewakaf
agar tujuan mereka berwakaf untuk memperoleh amal jariah dapat terus kita yang
hidup sebagai pemegang amanah laksanakan sebaik mungkin.
"Antara yang kita bincangkan adalah untuk menjadikan
masjid lama ini sebagai pusat pendidikan Islam malah kita juga telah mengadakan
perbincangan dengan beberapa institusi pendidikan agama untuk merealisasikan
pusat pendidikan Islam di masjid lama, walau bagaimanapun ia masih tetap
tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri," katanya.
Md Izzuddin menambah, masjid baharu ini baru sahaja
diserahkan pengurusannya kepada jawatankuasa masjid Isnin lalu dan masih dalam
proses memperoleh pentauliahan masjid daripada pihak berkuasa agama justeru itu
Masjid Kariah Linggi masih belum boleh digunaan untuk tujuan solat lima waktu
dan solat Jumaat.
Sinar Online

Comments
Post a Comment