TAMPIN – “Jauh di sudut hati saya sedih namun arwah
adalah anak kebanggaan dan perginya pula dalam bulan mulia iaitu bulan
Ramadan,” luah Mohd Norzin Masrom, 49,
Dia merupakan bapa kepada pelajar Institut Tahfiz al
Quran Negeri Sembilan (Itqan), yang meninggal dunia semalam.
Mohd Norzin berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi
itu, anak sulungnya, Mohd Norasyraf, 20, pelajar semester 5 Diploma Tahfiz
al-Quran, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam bilik air asrama
Itqan oleh rakannya.
Menurutnya, kali terakhir dia bertemu anaknya pada Jumaat
lalu, ketika anaknya sedang beriktikaf di Masjid Kariah Kampung Labu Tengah.
"Ketika itu dia juga jadi imam bagi solat Jumaat.
Mohd Norasyraf juga sempat bacakan khutbah. Saya temannya ke masjid hingga jam
3 petang.
"Dia dah ada di masjid itu sejak Khamis lagi untuk
menyempurnakan program iktikaf hingga semalam (kelmarin). Jika diikutkan, dia
bakal tamatkan pengajian 30 juzuk al-Quran pada semester depan. Kini anak saya
dah hafaz 24 juzuk al-Quran,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan
Forensik Hospital Tampin (HT), semalam.
Norzin yang juga pesara tentera berkata, anaknya itu
bercita-cita untuk menyambung pengajian di Mesir dalam jurusan al-Quran dan
Qiraati di peringkat ijazah.
"Dua lagi anak saya berusia 10 serta 11 tahun juga
mengikut jejak langkah arwah abang mereka dengan bersekolah tahfiz. Kini mereka
merupakan pelajar tahfiz di Taman Sri Pagi, Senawang.
"Pada Selasa lalu, anak saya ada mengadu sakit serta
lenguh anggota badan. Pemeriksaan di klinik mendapati dia mengidap
gastrik," katanya.
Sementara itu, Pengetua Itqan, Zamani Ibrahim berkata,
arwah seorang yang sangat aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan di Itqan
dan merupakan Ketua Exco Rohani, Majlis Tertinggi Pelajar Itqan.
Menurutnya, arwah sempat merancang serta melaksanakan
program sempena Ramadan bersama ahli jawatankuasanya bagi mengimarahkan lagi
Ramadan.
“Malah, ini tahun ketiga arwah terpilih untuk program
iktikaf. Dia juga salah seorang dari 76 pelajar terpilih untuk jadi imam, di 38
masjid di negeri ini sempena Ramadan.
“Bulan Ramadan ini, Itqan kehilangan dua permata yang
amat bermakna. Dua minggu lalu seorang guru Bahasa Arab, warga Mesir, Mahmud
Ibrahim, 38, meninggal dunia dan kini pelajar kami yang bakal bergelar tahfiz
pula.
"Bukan semua orang dapat meninggal di bulan Ramadan
dan mereka adalah orang-orang yang terpilih dapat keistimewaan ini,"
katanya.
Jenazah Allahyarham Mohd Norasyraf dikebumikan di Tanah
Perkuburan Islam Senawang petang semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan
Hamazah Ab Razak berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung kejadian
berkenaan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Mayat telah dibawa ke Hospital Tampin bagi proses bedah
siasat,” katanya.

Comments
Post a Comment