SEREMBAN – Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar
menafikan berita bahawa bekas pensyarah Universiti Malaya, Dr. Mahmud Ahmad
terbunuh dalam pertempuran di Marawi, Filipina.
Beliau berkata beliau baharu sahaja mendapat maklumat
bahawa berita yang menyatakan Mahmud terbunuh adalah tidak benar.
“Berkenaan dengan Dr. Mahmud, banyak yang bertanya, sama
ada dia betul telah terbunuh dalam pertempuran di Marawi, Filipina. Saya baharu
sahaja dapat maklumat bahawa berita yang menyatakan dia terbunuh itu adalah
tidak benar.
“Jadi maknanya dia masih hidup lagi. Kita percaya dia
masih lagi berada di Marawi City bersama-sama dengan pejuang-pejuang
(pengganas) mempertahankan Marawi City. Saya menafikan berita bahawa Dr. Mahmud
itu telah terbunuh,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa di
Masjid Nurul Iman, Kampung Gebok, Mantin hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,
Datuk Seri Mohmad Salleh dan Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Jaafar Mohd.
Yusof.
Khalid berkata, Mahmud menjadi antara perancang utama
serangan di Marawi.
Katanya, Mahmud antara mereka yang penting dalam
melancarkan serangan dan apa yang berlaku di Marawi sekarang.
“Dia antara perancang utamanya dan sudah semestinya dia
ini adalah menjadi sasaran utama bukan sahaja kita malah oleh pihak berkuasa
Filipina.
“Saya juga ingin mengesahkan bahawa orang Malaysia yang
berada di Marawi sebenarnya tidak ramai.
“Ada beberapa orang sahaja dan kita percaya
sekurang-kurangnya empat orang telah terbunuh dan ada beberapa orang lagi yang
kita belum dapat kenal pasti.
“Jadi kita sedang berunding dengan pihak berkuasa
Filipina untuk mereka membantu kita mengenal pasti mereka-mereka yang
terlibat,” katanya.
Beliau berkata, sebelum insiden di Marawi itu, terdapat
jemaah tabligh dari Malaysia yang telah pergi ke Selatan Filipina termasuk di
Marawi City.
“Jadi kami sedang mengumpul maklumat sama ada mereka yang
terlibat dalam jemaah tabligh ini sudah semua pulang ke Malaysia atau pun ada
yang masih berada di Filipina. Jadi siasatan sedang kita buat,” katanya.
Pada majlis itu, Khalid menyampaikan sumbangan Polis
Diraja Malaysia kepada 127 orang penerima yang terdiri daripada anak yatim,
anggota polis dan masyarakat setempat. – BERNAMA

Comments
Post a Comment