Kebiasaannya seni bina bangunan di Negeri Sembilan
dikaitkan dengan unsur Minangkabau kerana sejarah dan hubungan negeri itu yang
mengamalkan sistem Adat Perpatih.
Biarpun proses urbanisasi pantas berlaku dengan pelbagai
konsep moden dan kontemporari ditampilkan dalam pembinaan bangunan terkini,
masih ada bangunan lama dan bersejarah di negeri itu mengekalkan konsep
Minangkabau.
Bagaimanapun, berbeza dengan reka bentuk bangunan Masjid
Jamek Seremban kerana ia mirip kepada bangunan yang terdapat di Melaka.
Berusia 116 tahun apabila dibina pada 1900, Masjid Jamek
Seremban tersergam indah di Jalan Tun Dr Ismail.
Mengikut catatan sejarah, tapak masjid itu diwakafkan
Dato Bandar Haji Ahmad Ali dan keluarga Sheikh Abdul Kadir yang dikatakan
antara pendakwah terkenal ketika itu.
Masjid itu diiktiraf antara yang tertua di Negeri
Sembilan dan mungkin di negara ini, sekali gus membuatkan ia begitu unik kerana
ketinggian seni binanya yang unggul dan memiliki unsur sejarah.
Malah, ia satu-satunya masjid di negeri berkenaan yang
struktur binaannya hampir sama dengan yang terdapat di Melaka.
Berikutan kemajuan pesat di pusat bandar Seremban,
kerajaan negeri menaik taraf dan membesarkan masjid itu bagi menampung
keperluan jemaah yang meningkat.
Pada awalnya ia hanya mampu memuatkan kira-kira 1,000
jemaah tetapi kini boleh menampung sehingga 2,000 orang.
Namun, bangunan utamanya tidak terjejas termasuk menara
masjid ini yang dibina pada 1924 yang kini masih kekal tersergam.
Dikelilingi beranda bersaiz 2.5 meter, keluasan ruang
induknya antara 30 meter lebar dan 35 meter panjang yang turut mempunyai sebuah
kubah.
Masjid ini ada 30 tiang kecil yang mengukuhkan struktur
binaannya.
Keunikan seni bina berunsurkan Islam menjadikannya
dikagumi ramai sekali gus menjadi tarikan pelancong serta lambang keagungan
syiar Islam di Negeri Sembilan.
Eksekutif Masjid Ahmad Hilal Kasim berkata, Masjid Jamek Seremban
dipercayai tertua di Negeri Sembilan.
Beliau berkata, berdasarkan sejarah, pewakaf tapak masjid
itu cenderung dengan struktur binaan itu, sekali gus diterjemahkan dengan
persetujuan kerajaan negeri.
Menurutnya, walaupun sudah dinaik taraf, struktur asal
masih dikekalkan bagi memastikan nilai estetika pada bangunan pusat ibadat itu
terus dipertahankan.
“Nilai estetika dan ketinggian seni binanya berunsurkan
Islam membuatkan masjid ini menjadi tumpuan ramai termasuk pelancong luar.
“Malah kami pernah menerima sekumpulan pelatih paderi
yang tertarik dengan seni bina bangunan masjid ini,” katanya ketika ditemui.
Menurutnya, keindahan landskap dan dekorasi di sekeliling
masjid itu juga memberi nilai tambah dalam menyerlahkan konsep masjid dalam
taman, sekali gus menjadikan persekitarannya segar dan nyaman.
Ahmad Hilal yang dibantu dua kakitangan tetap berkata,
pihaknya berusaha merealisasikan konsep masjid dalam taman dengan memastikan
keindahan landskap dan pepohon hijau yang segar.
“Suasana persekitaran yang ceria dan segar mampu memberi
impak positif kepada jemaah, tambahan pula masjid ini penuh dengan aktiviti
keilmuan sepanjang minggu sama ada pada siang mahupun malam,”. - Mohd Amin
Jalil, MyMetro

Comments
Post a Comment