Mimpi arwah anak, isteri

GEMAS – "Saya nampak arwah isteri berbaring di tengah dan dikelilingi ramai orang yang tidak dikenali," kata Ahmad Syahraizan Omarudin, 41 menceritakan mimpinya selepas 10 hari kehilangan dua insan tersayang serentak akibat kemalangan ngeri, tahun lalu.
Ahmad Syahraizan yang juga Imam 1 Masjid Jamek Gemas berhadapan ujian besar apabila isterinya, Roslilah Maamor meninggal dunia dalam  kemalangan pada jam 11.30 malam, di kilometer 7, Jalan Gemas-Tampin, 12 September tahun lalu.

Syahraizan menunjukkan simpanan berita Sinar Harian online
ketika ditemui di rumah mentuanya
di Felda Sungai Kelamah.

Dalam kejadian itu juga, anak tunggalnya Fawwaz Ahmad Syahraizan yang ketika itu berusia sembilan tahun, disahkan meninggal dunia di Hospital Segamat kira-kira jam 3.30 pagi.
Syahraizan berkata, dia bagaimanapun tidak memahami maksud mimpinya itu dan akhirnya berasa tenang serta lega, apabila mendengar perkongsian ilmu yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Dasuki Abd Rani dalam rancangan Alam Barzakh di IKIMfm.
“Ustaz kata selepas jenazah ditinggalkan di kubur, sebelum munculnya malaikat Mungkar dan Nakir, akan muncul amalan-amalan arwah mengelilingi jenazahnya sendiri. Jika amalan baik banyak, jenazah akan rasa tenteram dikelilingi amalannya sendiri.
“Dalam mimpi itu, saya tak kenal siapa yang mengelilingi isteri saya. Tapi saya lihat ada pelbagai bentuk. Ada mak cik, ada perempuan muda dan berbagai-bagai lagi wajah yang saya tak kenali," katanya kepada Sinar Harian.
Syahraizan menunjukkan simpanan berita Sinar Harian online ketika ditemui di rumah mentuanya di Felda Sungai Kelamah.
Menurutnya yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Gemas, selepas memahami maksud mimpi berkenaan, hatinya lebih tenteram dan semakin bersemangat mencontohi amalan yang dibuat arwah isterinya sebelum ini.
“Mula-mula empat hari lepas kejadian, saya mimpi anak saya dan kira-kira enam hari kemudian barulah saya bermimpikan isteri saya," katanya.
Teruskan kelas mengaji al-Quran
Syahraizan berkata, dia kini meneruskan amalan yang dilakukan oleh arwah isterinya termasuk meneruskan kelas pengajian al-Quran secara sukarela di rumah mereka yang dimulakan sejak dari tahun 2005 oleh arwah isterinya itu.
“Sebelum ini kami buat di rumah sewa kami di Desa Permai Gemas dan tetap teruskan setelah pindah ke rumah sendiri di Kampung Melayu Bukit Masjid Gemas," katanya.
Ujarnya, kelas berkenaan dimulakan isterinya sendiri tanpa mengenakan sebarang bayaran bertujuan bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat termasuklah warga emas memperbaiki bacaan kitab suci al-Quran.
“Memang kebanyakannya saya yang mengajar. Tapi kelas ini diusahakan terlebih dulu oleh isteri saya. Oleh itu, saya tetap teruskan kelas ni walaupun isteri dan anak saya dah tiada,” katanya.
Kemalangan yang berlaku pada 12 September lalu yang mengorbankan enam nyawa.
Menurutnya, selain mengajar kelas mengaji al-Quran, dia juga mencontohi amalan isterinya yang tidak pernah meninggalkan solat tahajud pada setiap hari.
“Jika sebelum ini saya bangun jam 5.30 pagi dan bersiap-siap untuk ke masjid sebagai imam, kini saya akan bangun lebih awal untuk mencontohi amalan isteri saya,” katanya yang bertemu jodoh dengan arwah isteri melalui Baitul Muslim Negeri Sembilan yang diuruskan oleh pelajar-pelajar Negeri Sembilan yang sudah bertemu jodoh.
Syahraizan diperkenalkan dengan isterinya oleh rakannya, Dr Syuhadak Mahmud yang ketika itu sama-sama menuntut ilmu di Mesir pada Disember 2000.
Arwah isterinya itu belajar jurusan Bahasa Arab di Mesir dan pulang terlebih dahulu ke Malaysia, manakala, dia pula mempelajari Sejarah Islam dan pulang Malaysia pada 2003.
Mereka disatukan pada Jun 2003.
Ambil iktibar ujian orang lain.
Syahraizan berkata, walaupun ujian yang dihadapinya besar, namun dia turut mengambil iktibar daripada kisah orang lain yang menghadapi ujian serupa atau lebih besar darinya sebagai penguat semangat.
"Ambil iktibar dari apa yang dihadapi orang lain.
"Bersabar ujian yang dihadapi oleh kita. Semoga Allah beri kesejahteraan pada kita," katanya.
Menurutnya, mengimbau kembali kemalangan itu, ketika kejadian pandangannya menjadi gelap kerana mukanya tersembam pada beg udara.
Katanya, ketika itu dia seolah-olah terdengar suara yang menyuruhnya reda dengan apa yang berlaku.
“Masa tu saya dengar suara yang menyebut nama kenalan saya yang juga pernah mengalami keadaan seperti ini serta kehilangan anak serta isteri.  Suara itu juga menyatakan saya harus reda," katanya.
Dalam insiden mengorbankan nyawa isterinya itu, kereta jenis Proton Wira yang dinaiki enam bersaudara dari arah Gemas menuju ke Tampin dipercayai masuk ke laluan bertentangan, lalu bertembung dengan kereta jenis Perodua Kenari yang dinaiki isteri dan anaknya.
Kereta jenis Proton Wira berkenaan kemudiannya merempuh kereta jenis Toyota Avanza yang dipandu Syahraizan.
Kejadian berkenaan turut mengorbankan empat sepupu yang menaiki kereta Proton Wira iaitu Mohamad Haizal Mohamad Radzi, 20, meninggal di lokasi kejadian, Muhammad Mu’az Mohamad, 13, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kem Syed Sirajudin Gemas.
Dua lagi sepupu yang maut, Muhamad Hazreen Saadon, 22, yang merupakan guru agama Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) di Sekolah Kebangsaan (SK) Palong 1, Jempol dan Muhamad Rizuwan Abdullah, 19, disahkan meninggal dunia di Hospital Segamat.

Dua lagi mangsa yang menaiki kereta jenis Proton Wira dikenali sebagai Muhammad Aiman Abdullah, 14, ditahan di wad Hospital Segamat kerana mengalami kecederaan, sementara rakan baik arwah Muaz yang dikenali sebagai Muhammad Naimullah Che Roselee, 13, berada dalam keadaan koma di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Segamat.

Comments