REMBAU – Sebanyak 38 kesalahan termasuk pandu melebihi
had laju bas dan lori dikesan dalam Ops Bersepadu Serkap (Lebuhraya) di Hentian
Sebelah Pedas Linggi Arah Utara, di sini, malam tadi.
Operasi yang disertai 11 pegawai dan 93 anggota dari
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Polis Diraja Malaysia (PDRM),
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Plus,
Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) bermula
seawal jam 8.00 malam.
Menurut Ketua Jabatan Penguatkuasa SPAD, Mejar Jeneral
Datuk Paduka Che Hasni Che Ahmad, dalam ops terbaru berkenaan, SPAD telah
mengesan lapan kesalahan membabitkan satu kesalahan muatan bahaya, dua kes
gagal menunjukkan permit, lima kes pandu laju dan satu kes bas tiada senarai
penumpang.
“JPJ pula telah merekodkan 22 kes iaitu sembilan notis
saman, 10 notis Larangan Penggunaan Sesebuah Kenderaan (Notis PG1), dua notis
arah periksa kenderaan dan satu kenderaan disita.
“PDRM merekodkan lima kes pandu melebihi had laju, manakala,
AADK pula telah mengesan seorang kelindan lori positif dadah jenis marijuana
dalam ujian urin yang dijalankan membabitkan 30 individu,” katanya sempena Ops
Bersepadu Serkap (Lebuhraya) di Hentian Sebelah Pedas Linggi Arah Utara, di
sini, malam tadi.
Che Hasni berkata, JAS pula telah mengeluarkan satu kes
kompaun asap hitam dan empat notis lain telah dikeluarkan.
Menurutnya, pihaknya sudah mula melaksanakan operasi
sempena Hari Raya Aidilfitri sejak 12 Jun lalu dan operasi berkenaan akan
diteruskan setiap hari dengan kerjasama pelbagai agensi di merata lokasi di
seluruh Semenanjung Malaysia.
“Sebelum ini, SPAD telah mengenal pasti tidak kurang 46
kes dan lima kenderaan telah disita. Ini kita akan buat setiap hari dan kita
akan cuba satukan dengan agensi-agensi penguatkuasa yang lain.
“Kesalahan yang banyak kita kenal pasti ialah teksi 10
kesalahan, bas 17 dan lori 12 kesalahan. Kita juga menangkap lima ulat tiket
dan dua kenderaan beroperasi tanpa permit.
Menurutnya, pihaknya melaksanakan operasi melalui
pelbagai pendekatan antaranya meletakkan anggota di lebuhraya dan juga di terminal-terminal yang telah
dikenalpasti serta menggunakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dengan
kerjasama PLUS untuk memantau kesalahan pemandu.
“Kita juga menggunakan kamera-kamera statik yang dipasang
di tempat-tempat strategik untuk mengenalpasti kenderaan yang membawa secara
merbahaya. Dengan cara ini, pemandu kenderaan akan merasa diperhatikan setiap
masa.
“Kita harap mereka lebih bertanggungjawab untuk tidak
melakukan kesalahan-kesalahan seperti membawa laju melebihi had yang telah
ditetapkan kerana ia sangat merbahaya kepada pengguna dan penumpang.

Comments
Post a Comment