PORT DICKSON - Keindahan persisiran pantai di Batu 5
Jalan Pantai Port Dickson dicemari dengan serpihan tembikar, botol dan cebisan
kain, dipercayai dibuang semasa upacara keagamaan.
Ahli Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), P
Leachimanan berkata, pihaknya menerima aduan mengenai pencemaran pantai di Batu
5, daripada pengurusan kuil yang terletak berhampiran pantai tersebut.
Menurutnya, pengurusan kuil juga tidak bersetuju dan
tidak selesa dengan pencemaran yang berlaku.
“Ini kerana MPPD sejak dahulu lagi telah menyediakan
kawasan pantai khas di Pantai Batu 1 bagi tujuan upacara keagamaan.
“Masyarakat tempatan telah sedia maklum tentang kawasan
pantai khas berkenaan. Tidak dinafikan kebanyakan masyarakat luar tidak tahu
tentang perkara itu dan dipercayai pencemaran itu dilakukan oleh mereka,”
katanya semasa melawat kawasan pantai di Batu 5 Jalan Pantai.
Leachimanan berkata, akibat pencemaran itu, secara tidak
langsung mendatangkan rasa tidak selesa pengunjung lain ke pantai berkenaan.
“Aduan ini akan dibawa ke mesyuarat MPPD bagi mencari
jalan penyelesaian terbaik.
“Saya juga yakin masalah pencemaran ini akan berjaya
diatasi dengan baik oleh MPPD dalam masa terdekat,” katanya.
Leachimanan menambah, pantai di Batu 5 Jalan Pantai
adalah kawasan pelancongan dan bukannya kawasan yang dikhaskan untuk upacara
keagamaan, walaupun terdapat sebuah kuil berdekatannya.
“Pengurusan kuil juga tidak bersetuju dengan pencemaran
yang berlaku,” katanya lagi. - Sinar Online

Comments
Post a Comment