TAMPIN – Seorang lelaki berumur 55 tahun yang dikenali
sebagai Pak Sheikh dalam kalangan peminat air ketum berjaya ditangkap polis
susulan dipercayai terbabit dalam aktiviti menanam, memproses dan menjual air
ketum berkenaan sejak enam bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Hamazah Ab Razak
berkata, suspek yang hampir bergelar warga emas berkenaan merupakan salah
seorang daripada 11 penagih dan pengedar yang berjaya ditangkap dalam Ops
Sarang Bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin bermula jam 12.00 tengah
malam.
Menurutnya, suspek yang ditangkap di rumahnya di Felda
Pasir Besar, Gemas menggunakan alasan menjual air ketum berkenaan bagi membantu
mengubat orang-orang muda yang ketagihan arak dan juga dadah.
“Berdasarkan daripada percakapan suspek, air ketum ini
juga telah dijampi bagi tujuan perubatan berkenaan. Berdasarkan siasatan, harga
jualan untuk sebotol air ketum yang dikenakan suspek adalah RM10 di sekitar
Gemas.
“Dalam tangkapan ini, kita turut merampas air ketum yang
dianggarkan bernilai RM150 hingga RM180. Suspek juga ada menanam pokok ketum di
tepi rumah dan dianggarkan usia pokok yang mencecah hampir satu meter berkenaan
baru sahaja tiga bulan,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, di sini.
Hamazah berkata, dalam operasi yang berakhir jam 6.00
pagi berkenaan, seramai lima pegawai dan 24 anggota telah membuat 14 buah
serbuan di lokasi yang telah dikenalpasti di sekitar Tampin, Gemencheh, Gemas
dan Air Kuning Selatan.
Menurutnya, dalam serbuan berkenaan, seramai 16 orang
telah diperiksa dan 12 daripadanya ditangkap polis susulan terbabit dalam
aktiviti penyalahgunaan dadah serta air ketum di bawah Akta Racun 1952.
“Kesemua suspek dianggarkan berumur 28 hingga 57 tahun. Sembilan daripadanya sudah berkahwin dan dua
lagi bujang. Kesemua suspek kini ditahan
reman bagi membantu siasatan.
“Dari tangkapan berkenaan, tiga kes disiasat di bawah
Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, empat kes disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta
Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan lapan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB
1952.

Comments
Post a Comment