Polis siasat individu ugut Isa

BANDAR SERI JEMPOL - Polis menerima satu laporan polis berhubung tindakan seorang individu mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan terhadap bekas Pengerusi FGV, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad di laman sosial.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor berkata, berdasarkan siasatan awal, pelayar laman sosial itu membuat ugutan di Facebook supaya Isa yang juga Ahli Parlimen Jempol itu ditembak mati.
“Lelaki terbabit menghantar komen berkenaan yang mempertikaikan penyelesaian kemelut FGV.
“Polis akan menyiasat kes itu di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana mengugut dan Seksyen 233 Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya selepas selesai program Kempen Balik Kampung di Jalan Mahsan, di sini, semalam.
Sementara itu, Mohd Isa ketika ditemui pada program berkenaan enggan mengulas lanjut perkara berkenaan.
Sebelum ini, laporan polis dibuat Naib Presiden 3 Kelab Tinju Felda Malaysia, Aripen Tugimin di Balai Polis Bandar Seri Jempol kira-kira jam 3.15 petang semalam.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, sebuah sarang dadah yang dikenali sebagai Port Rumah Gemok, di Felda Raja Alias yang baru seminggu beroperasi diserbu polis pada petang Isnin lalu.
Noorzainy berkata, empat lelaki berusia 25 hingga 32 tahun termasuk seorang tokan dadah ditahan dalam serbuan sekitar jam 4.30 petang itu.
“Kebanyakan alasan yang diberikan tidak munasabah bagi mengelak ditahan. Ada yang mendakwa ingin menghilangkan rasa bosan dan tekanan hidup.
“Ada juga mendakwa pekerjaan paling mudah menghisap dadah, selain menjadi tokan dadah kerana mereka semuanya dipercayai penganggur,” katanya.
Noorzainy berkata, ketika serbuan itu kesemua suspek cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan.
“Pemeriksaan ke atas tubuh salah seorang suspek menemukan satu beg pinggang berisi satu bungkus plastik lut sinar di dalamnya ada 19 paket kecil, dan satu plastik besar lut sinar setiap satu paket di dalamnya berisi ketulan jernih dipercayai dadah jenis syabu, dengan anggaran berat 12.42 gram.

“Berdasarkan saringan air kencing, semua suspek positif dadah jenis methamphetamine. Sarang tersebut adalah lokasi penagih mendapatkan bekalan dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952 dan Seksyen 15(1)(a)ADB 1952,” katanya.

Sinar Online

Comments