Sukar bangunkan tanah terbiar

SEREMBAN - Ketidaktentuan pemilik tanah merupakan antara faktor utama menjadi kesukaran kerajaan untuk memajukan tanah-tanah terbiar di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, terdapat lebih kurang 12,000 hektar tanah terbiar yang kebanyakannya merupakan tanah adat dan tanah pusaka.
“Ada juga tidak bertuan dan terlampau banyak nama yang menyukarkan lagi usaha mengesan pemilik tanah sebenar. Pada masa sama, ada juga lebih suka membiarkan tanah dia berhutan daripada nak beri kepada sesiapa, misalnya agensi Risda untuk usahakannya.
“Sebagai contoh, ada satu kawasan di Jempol kita telah pulihkan tanah terbiar menerusi tanaman berkelompok. Tapi ada pula yang tidak mahu terlibat, sedangkan hasilnya nanti dapat beri kesan baik kepada negeri,” katanya.
Menurutnya, setiap waris juga perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap tanah pusaka ditinggalkan kepada mereka, meskipun masing-masing telah berhijrah ke bandar.
“Setiap waris perlu ambil kuasa buat bicara tanah. Beri kuasa kepada satu orang, misalnya waris atau saudara kita, turunkan kuasa pada dia untuk uruskan tanah tersebut.
“Kita memang tidak ada masa untuk uruskan tanah ini, jadi bagilah kepada mana-mana agensi seperti Risda untuk uruskannya. Tapi janganlah berkira sangat berapa banyak kita dapat, sekurangnya satu ekar tanah kita dapat beri faedah kepada negeri dan negara,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Dividen Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan (Risda) Peringkat Negeri Sembilan 2017 di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Risda, Nasarudin Malek dan Exco Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Hasim Rusdi.
Mohamad turut mencadangkan tanah terbiar bekas sawah tidak lagi diusahakan tanaman pokok kelapa sawit kerana boleh menyebabkan sumber air berkurangan.
Sementara itu, pada majlis berkenaan, sebanyak RM2,325,600 dividen diagihkan kepada 1,010 peserta Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) 2017 di negeri ini dengan purata keuntungan RM800 per ekar.
Selain itu, seramai 40 anak-anak yatim dari seluruh negeri ini turut menerima sumbangan Syarikat Milikan Risda Negeri Sembilan dengan jumlah keseluruhan RM4,000. – Sinar Online

Comments