SEREMBAN – Orang ramai yang mendapati ada peniaga
menetapkan harga barang atau makanan dijual secara tidak munasabah sepanjang
bulan Ramadan ini dinasihatkan supaya tidak memuat naiknya di laman sosial
sebaliknya membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi
dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam
Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Datuk Abu Ubaidah Redza berkata,
siasatan lanjut akan dilakukan dan tindakan sewajarnya akan diambil demi memberi
keadilan kepada pengguna.
“Jika tak puas hati, jangan cepat viralkan, tapi buat
aduan kepada KPDNKK supaya tindakan segera dapat diambil.
“Jangan kita hanya bercerita di laman sosial sehingga
mengundang pelbagai persepsi. Ini kerana kebanyakannya tidak berasas selepas
siasatan dilakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas
pelancaran Skim Kawlan Harga Musim Perayaan diadakan di Pasaraya NSK di sini,
kelmarin.
Hadir sama, Pengarah KPDNKK negeri, Ain Arjuna Aziz Zaman
dan Pengarah NSK Trading Sdn Bhd, Datuk Chiew Lian Keng.
Sementara itu, beliau berkata, para peniaga dinasihatkan
mematuhi peraturan Skim Kawalan Harga ditetapkan kerajaan bermula 17 Jun
sehingga 30 Jun ini bagi mengelakkan dikenakan tindakan.
Katanya, mereka boleh mengambil untung tetapi janganlah
terlalu melampau sehingga menetapkan harga tidak munasabah.
“Seperti diumumkan oleh KPDNKK terdapat 19 jenis barangan
harga terkawal dikuatkuasakan sepanjang skim ini, di mana penentuan harga
maksimum dibuat di peringkat pengeluaran, borong dan runcit.
“Jadi jangan pandang remeh arahan ini dan pegawai penguat
kuasa KPDNKK akan berada di lokasi-lokasi menjadi tumpuan orang ramai membeli
belah untuk pemeriksaan dan pemantauan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, dalam tempoh
22 Mei sehingga 31 Mei lalu, sebanyak 13 premis borong dan 560 premis runcit
telah diperiksa di mana hanya satu kes dilaporkan.

Comments
Post a Comment