GEMAS - Penduduk di Taman Gemas Indah, di sini, kecewa
apabila masalah tangki air tidak berfungsi berlanjutan sehingga lebih 20 tahun.
Tinjauan Sinar Harian ke lokasi berkenaan mendapati
tangki air tersebut masih utuh dan terjaga rapi persekitarannya, namun tidak
berfungsi.
Menurut seorang penduduk, P Banaja, 58, dia sudah menetap
di lokasi berkenaan sejak 17 tahun lalu dan kini berhadapan kesukaran untuk
mengangkut air ke rumahnya dalam jarak 100 meter dari tangki statik yang
disediakan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), sekiranya bekalan air
terputus.
“Dulu suami saya ada, tapi tahun lepas suami dah
meninggal. Jadi saya sendiri terpaksa ulang-alik angkat air. Dengan usia
seperti ini, saya agak penat untuk angkut air ke rumah.
“Saya harap sangat tangki air di taman perumahan ni dapat
berfungsi serta tampung keperluan lebih 200 rumah di sini,” katanya ditemui
Sinar Harian di Taman Gemas Indah, di sini, baru-baru ini.
Tangki Air Taman Gemas Indah masih di bawah PAAB.
Manakala Asmida Sepian, 29, berkata, tangki air berkenaan
terletak berhampiran kediamannya dan sentiasa terjaga serta berpagar.
Bagaimanapun katanya, apa yang menjadi masalah sekiranya
bekalan air di kawasan berkenaan terputus dan penduduk tidak mempunyai bekalan
air simpanan yang mampu menampung keperluan selama beberapa hari.
“Masalah ini sudah diketengahkan kepada pihak berkaitan,
tapi sampai sekarang masih belum dapat jalan penyelesaian sewajarnya.
Bagi Bahari Bujal, 60, dia sudah pun mengadu masalah itu
kepada Biro Pengaduan Awam Melaka Negeri Sembilan pada Oktober 2015.
Ujarnya, terdapat perbincangan diadakan di Dewan Besar
Gemas pada bulan yang sama aduan dibuat.
“Dalam perbincangan itu surat rasmi telah dikeluarkan dan
tertera tangki air berkenaan masih belum diserahkan pemaju kepada Sains. Malah
tangki air itu juga tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan Suruhanjaya
Perkhidmatan Air Negara (Span).
“Kalau memang berbahaya, kita harap tangki air ini dapat
diruntuhkan dan tangki air baru dapat didirikan bagi menampung kegunaan
penduduk. Masalah ini sudah berlanjutan berpuluh-puluh tahun.
Sementara itu, Pengerusi JKKK Gemas Indah, Shaharudin A
Hassan berkata, pihaknya telah mengetengahkan masalah itu kepada pihak
berkaitan.
“Satu perjumpaan bersama Sains telah dibuat dan mereka
memaklumkan bahawa tangki air berkenaan di bawah Pengurusan Aset Air Berhad
(PAAB) berikutan masih belum diserahkan kepada Sains,” katanya.

Comments
Post a Comment