MELIHAT kurangnya kedai pakaian bundle atau terpakai
khusus untuk wanita, telah mendorong Diyana Zakariah, 31,membuka kedai yang
diberi nama Ladies Bundle di Senawang, Seremban.
Semuanya bermula sejak graduan dari Universiti MSU dalam
bidang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan
Pelancongan dan Hospitaliti itu mula berjinak-jinak menjual beg tangan terpakai
secara dalam talian pada 2015.
Menurut Diyana, dia sememangnya meminati barangan bundle
sejak sekolah menengah lagi dan mula menjalankan perniagaan secara atas talian
selepas tamat belajar.
“Saya tak sangka beg tangan terpakai dapat permintaan
tinggi. Iyalah, kebanyakannya masih berkualiti dan mana nak dapat beg jenama LV
original harga RM500.
“Saya hebahkan perniagaan dijalankan ini dengan edar
risalah di kawasan perumahan di Taman Nusari Aman, Sendayan. Dari situ saya
tengok ramai wanita yang suka barangan bundle dan mereka tercari-cari kedai
bundle khusus untuk wanita,” katanya.
Disebabkan barangan bundle di rumahnya sudah terlalu
banyak, Diyana membuat keputusan membuka kedai, sekali gus memudahkan
pelanggannya untuk datang.
Sejak dibuka awal tahun lalu, katanya, pelanggannya
semakin bertambah dan dalam tempoh sebulan, dianggarkan antara 300 sehingga 500
kilogram pakaian telah terjual.
“Kebanyakan pelanggan saya beritahu yang mereka gembira
bila tahu ada kedai bundle khusus untuk wanita.
“Kalau di kedai bundle biasa itu, mereka segan sebab
bercampur dengan lelaki. Siapa kata orang perempuan tak pakai bundle, kami
layan saja,” katanya di sini, semalam.
Menurut Diyana, bundle mempunyai peminat tersendiri
kerana kebanyakan barang yang dijual masih berkualiti dan paling penting
harganya jauh lebih murah serta mampu milik.
Katanya, tidak ada yang perlu dimalukan memakai baju atau
barangan terpakai kerana orang yang banyak duit juga turut meminati bundle.
“Ada kalanya
harganya mencecah ratusan ringgit, tapi orang tetap nak beli sebab berbaloi kerana ia
berkualiti dan tahan lama.
“Bagi saya barangan bundle boleh menjadi jalan
penyelesaian bagi sesetengah orang dalam membantu menangani kos sara hidup yang
semakin tinggi sekarang,” katanya.
Pada hari tertentu, Diyana turut menyediakan rak percuma
di mana pelanggan boleh mengambil barang tersebut tanpa dikenakan sebarang
syarat.
Ini kerana barang berkenaan sudah dikategorikan sudah
tamat tempoh kerana gagal dijual selepas tiga bulan.
“Barang yang dijual di kedai saya sentiasa diganti dan
had tempoh ditetapkan hanya tiga bulan. Jika tiada pembeli, kita akan jual
harga promosi dan jika tiada juga pembeli, kita akan letak di rak percuma dalam
tempoh dua minggu.
“Biasanya saya akan tambah stok baju baru setiap dua
hari, supaya pelanggan dapat banyak pilihan dan harga ditawarkan bermula RM90
sehingga RM500. Jika nak lebih murah, pelanggan boleh beli secara timbang,”
katanya.
Jika bernasib baik, katanya, pelanggan juga boleh
mendapat pakaian pakaian bundle yang masih baharu dan mempunyai tanda harga. - Sinar Online

Comments
Post a Comment