PORT DICKSON - Meskipun saiz kaki kirinya luar biasa,
namun seorang nelayan di sini tidak menjadikannya sebagai penghalang untuk
turun ke laut mencari ikan.
Ithnin Mohd Noh, 65, berkata, kakinya mula membesar
sedikit demi sedikit sekitar 10 ke 15 tahun lalu.
Menurutnya, dia dilahirkan normal dan sehingga kini masih
tidak mengetahui punca sebenar bagaimana kakinya boleh membesar seperti itu.
“Dulu masa muda saya aktif main bola sepak. Pernah alami
sedikit kecederaan, mungkin itu salah satu penyebab apa yang saya alami
sekarang ni. Kesannya baru saya tanggung selepas lama tinggalkan bola sepak.
“Ketika mula-mula kaki membesar, saya ada rujuk ke
doktor, tapi lama kelamaan saya tak lagi ke hospital untuk buat pemeriksaan
sebab masa tu doktor sendiri tak dapat kenal pasti punca penyakit ni.
“Sekarang saya hanya bergantung kepada ubat tahan sakit
yang dibeli di farmasi,” katanya.
Ithnin berkata, kakinya yang besar menyukarkan sedikit
pergerakannya.
“Tapi dah biasa, walaupun agak susah tapi saya bersyukur
sebab masih boleh berjalan dan keluar bekerja.
Ithnin mengakui agak sukar untuk naik ke dalam sampan
kerana keadaan kakinya yang berat.
“Kaki ni sakitnya datang tak tentu masa. Ada satu masa,
kaki akan sakit dan sakit tu akan hilang bila air bisa mengalir keluar dari
kudis di sekitar buku lali.
“Luka kudis tu kalau kena air laut memang pedih. Tapi nak
buat macam mana, tahan je lah, sebab dah memang kerjanya ke laut untuk cari
rezeki,” katanya yang menetap bersama isteri dan anak-anaknya di Kampung Arab.
Ithnin akui sudah biasa bekerja dan sakit pada kakinya
itu tidak boleh dijadikan alasan untuk dia hanya duduk di rumah.
“Kaki kiri ni saiznya akan mengecil sedikit kalau saya
hanya duduk berehat saja di rumah.
“Tapi saya ni jenis yang kalau duduk berehat je, tak
keluar peluh mula la sakit, demam.
“Daripada demam, baik saya ke laut. Walaupun hasil
tangkapan ikan tak seberapa, kadang-kadang dapat ikan tak boleh nak dijual
sebab sikit dan bawa balik je lah, buat lauk sendiri,” katanya yang merupakan
nelayan pantai di Pengkalan Nelayan Port Dickson.
Ujar Ithnin, dia menjadi nelayan sejak muda lagi dan
pernah melakukan pelbagai kerja antaranya buruh landskap untuk menambah
pendapatan keluarga.
Jika tidak dihantar anaknya ke pengkalan nelayan, Ithnin
akan menunggang motosikal bersendirian.
“Sekarang pun kalau tak ke laut, saya akan ambil upah
kerja-kerja kontrak macam potong rumput untuk menyara hidup.
“Buat tambah-tambah duit belanja, lagipun isteri saya
sakit sejak empat bulan lepas dan tak boleh berjalan. Tapi dia (isteri) dapat
bantuan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), dapat la beli barang keperluannya.
“Nelayan pun saya ada dapat elaun, pihak masjid (Masjid
Jamek Dato' Haji Abdullah Sijang) juga ada salurkan sumbangan macam barang
keperluan makanan,” katanya. - Sinar Online

Comments
Post a Comment