Skip to main content

Budaya Bantu Membantu Masih Kuat : Sesat ketika cari rumput

PORT DICKSON - Alunan azan Subuh yang berkumandang sayup memberi petunjuk kepada seorang warga emas yang sesat di dalam ladang kelapa sawit, bahawa waktu sudah pagi.
Terdahulu, warga emas itu Chok Sen Tong, 78, sesat di ladang kelapa sawit di Batu Arang, Chuah, ketika mencari rumput untuk ternakannya.



    Sen Tong berkata, kelmarin sekitar jam 3.30 petang dia bersama tiga lagi rakannya ke ladang kelapa sawit berkenaan untuk mencari rumput dengan menaiki basikal.
    “Biasanya kami akan berpecah, tapi jarak antara satu sama lain tak jauh. Tapi semalam (kelmarin) mungkin sebab terlalu asyik menebas rumput, saya jauh terpisah dengan kawan-kawan.
    “Saya sedar sesat, panggil nama kawan-kawan tapi tak ada yang menyahut. Saya cuba cari jalan keluar tapi tak jumpa,” katanya ketika ditemui di rumahnya semalam.
    Sen Tong berkata, dia masih berjalan mencari jalan keluar walaupun ketika itu menjelang malam.
    “Saya juga ada dengar orang panggil nama saya dan saya juga dah jerit minta tolong. Tapi mereka tak dengar. Mungkin suara saya tak kuat dan disebabkan kaki dah lenguh dan penat, saya duduk saja bawah pokok. Kawasan memang gelap, saya tak tidur dan tak takut, sebab tahu ada orang cari saya,” katanya.
    Sen Tong berkata, dia kemudian kembali mencari jalan keluar apabila mendengar azan Subuh dari masjid berhampiran.
    “Saya dengar bunyi orang panggil sembahyang. Jadi saya tahu, hari dah pagi. Saya jalan hingga jumpa jalan keluar. Masa saya jalan di tepi jalan raya, ada seorang lelaki Melayu berhenti tanya saya dan terus hantar saya baik ke rumah lepas tahu saya sesat,” katanya.
    Sen Tong berkata, dia juga berterima kasih kepada rakan-rakannya yang melaporkan kehilangannya.

    “Ahli keluarga, orang kampung, bomba, polis, Rela dan APM (Angkatan Pertahanan Awam) semuanya semalaman cari saya, terima kasih “ katanya. - Sinar Online

    Comments