Hanya dua kes guna lorong kecemasan

SEREMBAN - Hanya dua kes penggunaan lorong kecemasan direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan sepanjang Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) yang berakhir malam tadi, sejak dilancarkan pada 18 Jun lalu.

Pengarahnya, Azrin Borhan berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan yang mendadak sebanyak 96.61 peratus berbanding 59 kes tahun lalu.
Menurutnya, kejayaan itu hasil rondaan penguatkuasaan dilakukan di sepanjang lebuhraya dari Tol Bandar Baru Bangi hingga Tol Pedas Linggi termasuk menggunakan Unit Peronda Bermotor (UPB) melibatkan jumlah keseluruhan anggota bertugas seramai 225 orang.
“Tahun lalu, kita lebih tertumpu kepada operasi statik di Hentian Rawat  dan Rehat (R&R) dan tol berbanding tahun ini anggota menjalankan rondaan dan pemeriksaan di sepanjang lebuh raya termasuk di lokasi yang kerap berlaku kemalangan.
“Kita dapati pemandu lebih berhemah dan berhati-hati. Pada masa sama, kita turut membuka bilik kawalan 24 jam untuk menerima aduan pengguna dan melakukan pemantauan sepanjang operasi,” katanya pada sidang media selepas Op HRA 2017 diadakan di Jalan Dato Muda Linggi di sini, malam tadi.
Turut terlibat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Imigresen Negeri Sembilan (JIMNS). 

Sementara itu beliau berkata, sepanjang HRA 2017, sebanyak 2,759 jumlah kenderaan diperiksa di mana 1,831 dikenakan tindakan di mana menunjukkan penurunan sebanyak 876 kes berbanding tahun lalu.

Antara kesalahan yang dilakukan adalah  memandu melebihi had laju, gagal mematuhi lampu isyarat, memotong garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memandu di lorong kecemasan, tidak memakai tali pinggang keledar dan memandu di lorong kanan secara berterusan  bagi kenderaan barangan.

Comments