PORT DICKSON - “Alhamdulillah, basikal anak saya yang
dicuri dah dipulangkan semula,” kata Hiryanti Kusni, 29, ibu Hariz Mikail
Harizan, 9, yang kehilangan basikal Jumaat lalu.
Hiryanti berkata, walaupun basikal anaknya dipulangkan
dalam keadaan hanya tinggal rangka, tapi dia bersyukur kerana orang sekeliling
individu yang mencuri basikal itu mengambil berat tentang kejadian tersebut.
“Memang ramai yang kata, alah basikal saja yang di curi,
kenapa nak kecoh. Bagi saya kejadian ini bukan semata-mata curi basikal, tapi
banyak iktibar di sebaliknya sama ada dari pihak saya, individu yang mencuri
dan juga masyarakat sendiri.
“Bagi saya sendiri lepas ini, akan lebih memantau
aktiviti anak. Begitu juga dengan orang lain di luar sana sama-sama pantau anak
masing-masing agar tak terlibat masalah sosial seperti ini. Membesarkan anak
hari ini memang besar cabarannya,” katanya kepada Sinar Harian.
Ibu tiga anak ini berkata, dia memuat naik di Facebook
rakaman litar tertutup (CCTV) yang memaparkan wajah si pencuri, selepas empat
hari kehilangan basikal itu.
Menurutnya, insiden itu turut disiarkan di akhbar ini
sehinggakan akhirnya ada pihak yang tampil menghubungi serta memaklumkan
penemuan basikal tersebut.
“Tengah hari kelmarin ada seorang lelaki meninggalkan
komen di laman sosial memaklumkan basikal itu dijumpai dan berhasrat mahu
memulangkannya semula.
“Sekitar jam lima semalam, kami bertemu di sebuah stesen
minyak. Si pelaku pula tidak hadir atas alasan ada urusan lain.
“Sayang juga tak dapat bertemu dengan individu yang ambil
basikal anak saya ni. Jika dapat jumpa, saya bukannya nak marah jauh sekali
berdendam. Saya cuma nak bagi nasihat kepadanya dah harap selepas ni dia tak
ulangi perbuatan mencuri.
“Terima kasih kerana terbuka hati pulangkan basikal ni,”
katanya.
Hiryanti berkata, berdasarkan cerita daripada lelaki yang
membantu memulangkan basikal itu, si pelaku tersebut turut memohon maaf atas
perbuatannya.
“Dia juga merayu agar tidak dipanjangkan kepada polis,
lantaran usianya baru tingkatan satu. Saya dah maafkan dia.
“Dari awal lagi saya tak buat laporan polis sebab yakin
kisah yang tular ini boleh diselesaikan. Bukan tak percaya pihak berkuasa, tapi
sekadar tak nak libatkan kanak-kanak dengan kes polis.
“Harapan saya juga tinggi agar dia insaf dan dia akan
belajar bersungguh-sungguh,” katanya.
Hiryanti berkata, anaknya sangat gembira sebaik melihat
basikalnya yang hilang dah dipulangkan semula walaupun kedua-dua tayarnya
tiada.
“Anak saya ni memang hobinya berbasikal, dia pun boleh
baik pulih sendiri basikalnya kalau rosak. Dia pun dah maafkan orang yang ambil
basikalnya itu," katanya.
Terdahulu, pada Jumaat lepas sekitar jam 5.42 petang,
basikal milik Hariz Mikail yang ditinggalkan di hadapan sebuah kedai di Batu 6
Jalan Pantai hilang dan insiden itu dirakam CCTV. - Sinar Online

Comments
Post a Comment