‘Jika saya pergi jangan ratapi’

GEMAS - “Kalau kita meninggal, janganlah meratapinya,” itulah pesanan arwah Mohammad Hasyief Marzuki, 37, yang maut dalam nahas dua kenderaan di Kilometer 1, Jalan Gemas-Tampin, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 petang itu, mangsa yang berasal dari Palong 3, berpangkat Sarjan Tinjau Jambatan Taktikal Pontun di Unit 4 Skuadron RAJD, Kem Syed Sirajuddin Gemas disahkan maut oleh pasukan paramedik.
Rakan mangsa, Koperal Zairul Mansor, 37, berkata, Allahyarham Hasyief atau lebih mesra dipanggilnya sebagai Cik Hasyief sememangnya rapat dengannya lebih-lebih lagi mereka berkenalan sejak menjalani latihan rekrut 18 tahun lalu.
Menurutnya, dia bertemu kembali dengan arwah di Kem Syed Sirajuddin Gemas tujuh tahun lalu dan arwah adalah penyelianya dalam Terup Jambatan.
“Sebelum hari raya, arwah tiba-tiba kata dekat saya kalau kita meninggal, jangan meratapinya. Saya tak fikir apa-apa kerana memang arwah seorang yang sangat baik dan bertanggungjawab dengan anak-anak buahnya serta selalu tinggalkan pesan buat kami.
“Cumanya saya dah lama kenal dengan arwah sejak rekrut lagi dan segala cerita peribadi kami kongsi bersama. Malah arwah juga seorang yang tak boleh melihat orang lain susah dan sering menghulurkan bantuan kepada kami,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Tampin, di sini, semalam.
Zairul berkata, dia masih terkejut dengan kejadian kemalangan itu kerana dialah yang mengejutkan Allahyarham Hasyief dari tidur sebelum arwah pergi menjemput anak di sekolah.
Katanya, sebelum kejadian, arwah mengadu kepadanya kurang sihat dan dia menyuruh arwah untuk berehat seketika serta tidur.
“Dekat jam 1 petang, saya kejutkannya dari tidur. Saya katakan padanya ‘cik hujan’ tapi arwah tak menoleh dan teruskan perjalanan.
“Tak sampai setengah jam, saya dapat tahu arwah terbabit dalam kemalangan sebelum sempat arwah menjemput anaknya di Sekolah Kebangsaan (SK) Gemas,” katanya
Difahamkan, arwah meninggalkan isteri, Faizura Kamaruzaman, 36, yang sedang mengandung empat bulan dan tiga anak lelaki yang masih kecil.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Hamazah Ab Razak berkata, kemalangan berkenaan membabitkan motosikal Modenas ditunggangi mangsa dan sebuah lori.
“Berdasarkan siasatan awal, ketika kejadian hujan agak lebat dan mangsa gagal mengawal motosikalnya dan masuk ke laluan bertentangan.
“Dalam masa sama datang sebuah lori dari arah Gemas dan berlaku perlanggaran. Mangsa maut dan mayatnya dihantar ke Hospital Tampin bagi proses bedah siasat," katanya.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - Sinar Harian

Comments

  1. إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعون

    Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga arwah di tempatkan di kalangan orang-orang yang beriman..
    AlFatihah
    . بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَـن
    ِ ٱلرَّحِيم ٱلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلْعَـلَمِين۞ ٱلرَّحْمَـنِ ٱلرَّحِيم۞ مَـلِكِ يَوْمِ ٱلدِّين۞إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ۞ ٱهْدِنَا ٱلصِّرَطَ ٱلْمُسْتَقِيمَ۞صِرَطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ۞ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ ٱلضَّاۤلِّينَ۞امين

    ReplyDelete

Post a Comment