SEREMBAN - Sebanyak 2,504 kenderaan diperiksa Jabatan
Pengangkutan Jalan (JPJ) sempena Op Hari Raya Aidilfitri 2017 yang berakhir
semalam sejak ia dilancarkan pada 18 Jun lepas.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Azrin Borhan berkata,
daripada jumlah itu, sebanyak 1,683 kesalahan dikesan termasuk memandu melebihi
had laju, gagal mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar,
menggunakan telefon bimbit, memandu di lorong kecemasan, tidak memakai tali
pinggang keledar dan memandu di lorong kanan secara berterusan bagi kenderaan
barangan.
“Jumlah kesalahan pada op tahun ini menunjukkan penurunan
37.83 peratus berbanding tahun lepas iaitu 2,707 kesalahan yang dikesan.
“Malah jumlah kenderaan yang diperiksa sepanjang Op Hari
Raya Aidilfitri 2017 juga berkurangan 10.22 peratus berbanding tahun lepas,”
katanya kepada pemberita selepas meninjau Op Hari Raya Aidilfitri 2017 yang
dilaksanakan di sekitar daerah ini, malam tadi.
Turut menyertai operasi Ketua Pendakwaan Agensi Antidadah
Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan Aziz Musa dan Penolong Jurutera Jabatan Alam
Sekitar Negeri Sembilan Razali Othman.
Azrin berkata, seramai 225 anggota penguat kuasa terlibat
sepanjang Op Hari Raya Aidilfitri 2017 berlangsung.
Mengulas lanjut, beliau berkata bagi kesalahan memandu di
lorong kecemasan pada tahun ini menunjukkan penurunan dua kes berbanding 59 kes
tahun lepas.
Penurunan mendadak ini adalah kerana modus operandi JPJ
lebih kepada pemantauan di jalan raya berbanding pemantauan secara statik pada
tahun lepas,” katanya.
Sementara itu, Aziz berkata seramai sembilan individu
ditahan kerana positif dadah jenis methamphetamine dan ganja ketika Op Khas
Motosikal dilaksanakan pada 23 Jun, 1 dan 2 Julai di dua lokasi iaitu Senawang
dan Jempol.
“Operasi di Terminal One (terminal bas Seremban) setakat
2 Julai, seramai 82 pemandu telah disaring ujian air kencing dan mendapati
kesemua mereka negatif dadah. Kami berharap trend ini akan berkekalan.
“Bagi penunggang motosikal yang ditahan kerana positif
dadah, mereka ini akan diserah kepada pegawai penyiasat AADK untuk diambil
tindakan,” katanya.
Razali pula berkata 64 kenderaan diesel diperiksa dengan
enam daripadanya ditawarkan kompaun sebanyak RM2,000 setiap satu kerana
kesalahan melepaskan asap hitam. - Bernama

Comments
Post a Comment