Kereta rempuh gerai jual buah-buahan

REMBAU - Sebuah keluarga yang sedang menikmati makan tengah hari sempat menyelamatkan diri apabila gerai buah-buahan mereka di Kampung Lada, di sini, dirempuh sebuah kereta Toyota Vios, semalam.


Dalam kejadian kira-kira jam 2.05 petang di Kilometer 33.5, Jalan Seremban-Tampin itu, kesemua mangsa dan penghuni gerai buah-buahan berkenaan tidak mengalami kecederaan serius.
Menurut penjual, Iwan Rani, 43, ketika kejadian, dia, isteri serta ayahnya sedang makan di dalam gerai berkenaan, manakala, dua anaknya berusia 6 serta 11 tahun makan di luar gerai.
“Tiba-tiba saya dengar bunyi dentuman kuat dan segera berlari ke arah anak. Saya nampak kereta Toyota Vios dari arah Rembau berpusing selepas berlanggar dengan kenderaan dari arah Tampin serta terus terbabas merempuh gerai jualan saya. Habis bergegar gerai dan kami segera keluar dari gerai.
“Saya lihat pemandu kereta berkenaan iaitu seorang wanita masih berada dalam keadaan sedar dan keluar sendiri dari kereta melalui pintu pemandu,” katanya ditemui Sinar Harian di lokasi kejadian, di sini, semalam.
Iwan berkata, susulan kejadian itu, dia mengalami kerugian lebih RM2,000 apabila binaan konkrit gerai runtuh dan buah-buahan pelbagai jenis rosak dirempuh kereta berkenaan.
Manakala, penumpang kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang juga terbabit dalam kemalangan, Azmiah Ismail, 43, berkata, ketika kejadian dia serta suami, Sharhadie Samsuddin, 42, dalam perjalanan dari arah Tampin ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban.
Menurutnya, secara tiba-tiba sahaja kereta dari arah bertentangan masuk ke laluan mereka dan suaminya tidak dapat mengelak kerana semuanya berlaku dalam sekelip mata.
“Selepas berdentum dengan kenderaan kami, kereta berkenaan berpusing serta terus merempuh gerai. Mujur ketika kejadian tiada pembeli atau penghuni berada di situ,” katanya.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihaknya ada menerima laporan berhubung insiden berkenaan dan kes disiasat di bawah peraturan 10 LN 166/59 Kaedah-kaedah Lalu-lintas 1959. - Sinar Online

Comments