TAMPIN - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah komited untuk mewujudkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang profesional dan mampu menguruskan kampung dengan berkesan.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana kejayaan sesebuah kampung dan institusi masyarakat yang lain sangat bergantung kepada kecekapan kepimpinan dan urus tadbir di peringkat jawatankuasa berkenaan.
Ujarnya bagi tujuan itu, kementerian berkenaan telah melaksanakan program latihan yang komprehensif kepada JKKK melalui Program Sijil Tadbir Urus Desa yang dilaksanakan oleh Institut Kemajuan Desa dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sepanjang tahun ini.
Beliau berkata, sehingga kini hampir 3,000 JKKK telah diberi latihan secara intensif meliputi pentadbiran desa, pengurusan kewangan, keusahawanan dan pemantauan projek dalam peringkat pertama program yang akan tamat akhir bulan ini.
Advertisement
“Kita tidak mahu lagi masyarakat mempunyai persepsi JKKK tidak cekap seperti sebelum ini. Kita mahu mereka dilihat sebagai profesional dan mampu mengurus dan mentadbir kampung dengan baik.
“Antara aspek yang diberi penekanan ialah memperkukuhkan kepimpinan dan kecekapan tadbir urus JKKK kerana kepimpinan di peringkat akar umbi adalah pemangkin kepada pembangunan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Anugerah Desa Perdana Peringkat Negeri 2017 Zon Tengah dan Selatan di Dewan Perdana Tampin di sini hari ini.
Anugerah Desa Perdana melibatkan kesemua 14 negeri yang terbahagi kepada tiga kategori utama iaitu Kampung Tradisional, Kampung Orang Asli dan Rumah Panjang.
Penyampaian anugerah bagi Zon Tengah dan Selatan melibatkan Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Selangor dengan penyertaan 171 buah kampung.
Dalam pada itu, menurut Ismail Sabri, bagi memberi kemudahan kepada JKKK dan JKKK Persekutuan mempunyai akses terus kepada beliau, satu saluran telah wujudkan menerusi Majlis Muafakat Desa.
Jelas beliau, melalui platform tersebut, kepimpinan di kampung boleh berinteraksi dengan beliau dan pegawai-pegawai kanan kementerian untuk menyalurkan pandangan dan maklum balas berhubung isu pengurusan kampung.
“Saya berharap segala inisiatif yang dibuat dapat memacu pembangunan kampung yang akhirnya akan memberi kesejahteraan kepada rakyat di luar bandar,” ujar beliau.
Mengulas mengenai Anugerah Desa Perdana, Ismail Sabri berkata, pertandingan itu mampu mendorong JKKK dan penduduk untuk memajukan kampung masing-masing seiring dengan penilaian yang dibuat dalam pertandingan berkenaan.
Jelasnya, penghakiman dan pemarkahan dibahagikan kepada lapan aspek antaranya patriotisme dan kemasyarakatan, kepimpinan dan pentadbiran, pendidikan dan latihan, ekonomi dan keusahawanan, pemerkasaan belia dan pengawasan kemudahan kampung.
“Matlamat pertandingan ini adalah untuk melahirkan masyarakat desa yang berdaya saing, berinisiatif, berilmu, berdikari dan mempunyai disiplin kerja yang tinggi.
“Selain itu ia bermatlamat menyuburkan semangat patriotisme dan nilai-nilai murni serta memastikan kelestarian dalam aspek sosial dan ekonomi kampung,” katanya.
Menurut beliau, sebanyak 23 kampung di seluruh negara bakal layak bertanding bagi peringkat kebangsaan mewakili negeri masing-masing dan majlis penyampaian hadiah Anugerah Desa Perdana Peringkat Kebangsaan akan diadakan pada 22 Ogos di Kuala Lumpur.
Ujarnya, pemenang akan menerima wang tunai berjumlah RM100,000 dan peruntukan bagi projek pembangunan kampung bernilai RM600,000.
Anugerah Desa Perdana telah melalui beberapa fasa sejak diperkenalkan pada 1987 yang pada waktu itu dikenali sebagai Pertandingan Kebersihan, Keindahan dan Kemajuan Kampung.
Ia kemudian dikenali sebagai Pertandingan Desa Cemerlang pada tahun 2000, Anugerah Desa Cemerlang pada 2005, Anugerah Desa Sejahtera 1Malaysia (2014) sebelum diubah menjadi Anugerah Desa Perdana mulai tahun ini. - Utusan Online

Comments
Post a Comment