Skip to main content

Negeri Sembilan bakal wujud undang-undang cegah salah guna darjah kebesaran

SEREMBAN - Kerajaan negeri akan membentangkan rang undang-undang bagi mengekang salah guna darjah kebesaran Negeri Sembilan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri pada 8 Ogos ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, undang-undang itu akan memastikan gelaran kebesaran negeri tidak dianugerahkan sewenang-wenangnya terutamanya oleh pihak yang tidak mempunyai kuasa berbuat demikian.
“Di Negeri Sembilan, hanya pemerintah negeri atau Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan kerajaan negeri mempunyai bidang kuasa terhadap hal-hal berkaitan anugerah kebesaran negeri.
“Tiada individu lain yang dibenarkan untuk berbuat demikian atau mengadakan upacara penganugerahan darjah kebesaran,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Advertisement
Menurutnya, rang undang-undang itu akan menggunakan Akta Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2016 serta Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan) 2016 sebagai templat dengan beberapa tambahan untuk disesuaikan dengan negeri ini.
Tambahnya, kedua undang-undang tersebut telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 23 November tahun lalu.
Di bawah kesalahan berkaitan akta tersebut, denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun menanti sesiapa yang bersalah terlibat dalam upacara penganugerahan haram dan membuat atau memiliki lambang yang tidak diiktiraf.
Mereka yang meminta untuk anugerah atau cuba menjual anugerah palsu berhadapan dengan hukuman 20 tahun penjara.
Mohamad berkata, di bawah undang-undang negeri sedia ada, mereka yang melakukan kesalahan itu hanya dikenakan denda. - UTUSAN ONLINE




Comments