Program ceramah agama disiasat

SEREMBAN - Jabatan Mufti Negeri Sembilan menjalankan siasatan terperinci terhadap program ceramah agama yang berlangsung di Nilai, Rabu lalu ekoran didakwa mengetengahkan ulama berfahaman barelwi.

Muftinya, Datuk Mohd Yusof Ahmad berkata, pihaknya mengetahui perkara tersebut melalui kain rentang program yang dipasang sebagai makluman kepada orang ramai.
“Kita pun tidak berapa tahu, apa bawaan fahaman ini. Tapi berdasarkan semakan awal, penceramah terbabit tiada tauliah untuk mengajar agama di negeri ini.
“Jadi, kita sudah maklumkan pada pihak penguatkuasaan. Minta mereka tengok perkara ini dan ambil tindakan sewajarnya.
“Setakat ini, tiada tangkapan dibuat terhadap mana-mana individu yang terlibat dengan penganjuran program berkenaan,” katanya di sini, semalam.
Difahamkan, program melibatkan agamawan dikenali sebagai Abdul Habib Attari itu mula menjadi tular menerusi akaun Facebook milik seorang individu.
Melalui status dimuat naik individu terbabit, dia meminta pihak jabatan agama supaya bertindak segera, selain memaklumkan bahawa Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan telah sebulat suara melarang aliran itu berceramah di negeri terbabit.
Sementara itu, Mohd Yusof menasihatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan fahaman meragukan.
“Apa saja penceramah tidak bertauliah, tidak usah ikut. Seeloknya maklumkan pada penguat kuasa.

“Kita tidak mahu orang tiada tauliah menyebarkan fahaman tidak selari dengan pegangan Negeri Sembilan iaitu ahli sunnah wal jamaah dan mazhab Syafi’i,” katanya. - Sinar Online

Comments