SEREMBAN - Anggota penguatkuasa mengambil masa hampir
sejam memujuk seorang remaja perempuan menjalani ujian saringan urin ketika
pemeriksaan dalam sekatan jalan raya di Jalan Dato' Muda Linggi, di sini, malam
kelmarin.
Remaja berkenaan bukan sahajaja enggan bekerjasama, malah
memberi alasan dalam perjalanan pulang menziarahi rakannya yang kematian datuk
di hospital.
Bagaimanapun, taktik remaja berusia 17 tahun untuk
melepaskan diri tidak berhasil apabila pemeriksaan mendapati dia positif dadah.
Sebelum itu, anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)
yang turut serta dalam operasi operasi Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2017 itu,
memujuk remaja itu melakukan ujian saringan air kencing, namun dia memberi
pelbagai alasan.
Antaranya, dia mengaku pernah diberi pil oleh rakannya
dan bimbang dipenjarakan sekiranya ujian air kencingnya itu positif.
Ketua Unit Pendakwaan dan Pengawasan AADK Negeri
Sembilan, Aziz Musa berkata, remaja terbabit bersama teman lelakinya sebelum
itu ditahan JPJ selepas kereta dinaiki mereka bermasalah.
“Teman lelakinya berusia 19 tahun juga diarah membuat
ujian saringan dan positif dadah jenis methamphetamin. Manakala remaja
perempuan itu pula mengaku masih bersekolah di sebuah sekolah di sini.
“Disebabkan dia tidak mahu membuat ujian saringan di
lokasi, kita bawa ke pejabat AADK sebelum mendapati dia positif pil eramin 5.
Kes disiasat mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan - RMP) 1983,”
katanya ketika operasi berkenaan, malam kelmarin.
Aziz berkata, secara keseluruhan seramai 20 diarah
membuat pemeriksa-an di mana lima positif dadah masing-masing berusia antara 17
tahun dan 30-an.
Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau berkata,
dalam pemeriksaan saringan dilakukan terhadap pemandu bas di hentian bas dan
teksi Terminal One bermula 18 Jun lalu, tiada yang dikesan positif dadah.
Operasi turut melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan
(JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Imigresen Negeri Sembilan.

Comments
Post a Comment