‘Saya rindu air tangan ibu'

SEREMBAN – "Saya paling rindu nak makan bubur pedas Sarawak air tangan ibu bila hari raya," kata Mohd Izral Khalil, 44, yang tidak dapat menikmati makanan tersebut pada hari raya lalu setelah ibunya terlantar sakit.
Ibunya, Juriah Abd Manaf, 71, tidak dapat menyediakan juadah hari raya untuknya apabila menghidap sakit urat saraf sejak setahun lalu.

Dia yang merupakan orang kurang upaya cacat penglihatan berkata, dia kini menjaga ibunya selepas kematian bapa tiri, kira-kira lima bulan lalu.
Sebelum ibunya sakit, katanya, bubur pedas Sarawak menjadi hidangan utama dimasak ibunya untuk dijamu keluarga selain rendang kerbau.
“Jika ibu sihat, dialah orang yang paling sibuk membuat persiapan raya dari bab masakan sehinggalah ke bab pakaian. Tetapi raya kali ini dia tidak mampu berbuat apa-apa.
“Walaupun ibu terlantar, tetapi ingatannya kuat dan dia boleh mendengar hasil bantuan alat pendengaran.
“Ibu tahu sekarang masih suasana raya dan masa Ramadan lepas pun dia tetap  berpuasa,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Batu 3 ¼ Jalan Jelebu, Ampangan, di sini.
Bercerita lanjut, Mohd Izral yang bekerja sebagai tukang urut berkata, bubur pedas Sarawak itu seakan bubur lambuk.
“Mak belajar pun daripada mak saudara arwah ayah tiri dan dia kongsikan dengan mak.
“Kemudian, mak belajar buat bubur pedas Sarawak dan terbukti hasil tangan mak buat masakan itu sangat sedap.
Ditanya perasaan Mohd Izral dan sambutan hari lebaran lepas, katanya, dia tidak merasai apa-apa kemeriahan kerana semuanya hanya sederhana.
“Tak ada rasa apa, macam biasa sahaja. Jika nak sambut raya pada tahun-tahun dulu, semuanya meriah, ibu sihat dan arwah ayah tiri pun ada.
“Selalu mak dan arwah ayah akan berjalan ketika hari raya kerana ayah memang suka berjalan.  Tetapi selepas ayah tiri meninggal dan mak pula jatuh sakit, semuanya sudah berubah.

“Bagaimanapun, saya reda dengan ketentuan yang diberikan ALLAH. Saya sanggup untuk menjaga makan pakai ibu kerana dialah satu-satunya anugerah ALLAH yang perlu kita jaga selagi hayatnya ada,” katanya. - Sinar Online

Comments