KUALA PILAH - Kawasan seluas 44 hektar di Kampung Kuala
Jempol yang berstatus tanah adat, didakwa diceroboh pihak tidak
bertanggungjawab sejak lapan tahun lalu.
Tanah itu dikatakan telah diusahakan secara pajakan oleh
seorang individu dari utara tanah air, yang berusia lingkungan 50-an dan
dipercayai lokasi itu membabitkan seramai 65 pemilik tanah.
Penghulu Luak Jempol, Abd Hafit Anuar Abu Bakar berkata,
pihaknya bertindak mengarahkan pengusaha terbabit untuk segera menamatkan
operasi serta perjanjian itu berkuat kuasa 9 Julai lalu.
Menurutnya, tindakan itu dilakukan susulan rungutan dan
kekecewaan disuarakan pemilik tanah, justeru pihaknya tidak akan berkompromi
serta teragak-agak untuk bertindak terhadap individu yang menceroboh tanah adat
di Luak Jempol.
“Antara kesalahan dilakukan seperti bayaran sewa tanah
yang tidak konsisten. Ini kerana ada pemilik tanah yang tak pernah dapat sesen
pun duit sewa sejak lapan tahun lalu.
“Terdapat juga pemilik tanah yang hanya dapat bayaran
satu musim sahaja sedangkan sawah diusahakan tiga musim dalam setahun,” katanya
ketika ditemui di Kampung Kuala Jempol.
Tambah Abd Hafit, setelah melakukan pemeriksaan kepada
surat perjanjian, ia tidak jelas dan tidak mengikut prosedur ditetapkan.
“Malah, surat perjanjian itu tiada kelulusan serta
persetujuan dari datuk lembaga Luak Jempol.
“Kami juga mendapati pengusaha dipercayai bertindak
memalsukan tandatangan pemilik tanah dan tindakan ini dilihat satu penipuan
yang tidak boleh dimaafkan,” katanya.
Ujarnya lagi, pihaknya turut menghantar surat kepada
pengusaha untuk memberi peluang dan datang berbincang bagi menyelesaikan
perkara itu.
“Bagaimanapun pihak pengusaha tidak memberi kerjasama
seolah-olah tidak berminat untuk datang berbincang dengan kami.
“Sebelum ambil tindakan ini kami dah dapatkan khidmat
nasihat dari Pegawai Daerah Jempol. Atas nasihat beliau, jalan terbaik adalah
menamatkan perjanjian tersebut,” katanya.
Selain itu ujarnya, pihaknya juga memohon agar Pejabat
Pertanian Daerah lebih peka dan tidak lepas tangan berkaitan pertanian
diusahakan di tanah adat.
“Sebelum ini kami berhubung dengan pihak pertanian untuk
tahu status tanah. Bagaimanapun jawapan yang diterima amat mendukacitakan di
mana mereka tidak tahu kewujudan projek tersebut.
“Walhal, segala urusan berkaitan pertanian perlu dapat
kelulusan mereka sebelum mula sebarang projek pertanian,” katanya.
Dalam pada itu, Abd Hafit menegaskan kepada pengusaha
yang berhasrat untuk memajak tanah adat, perlu bertemu Datuk Lembaga Luak Jempol
bagi mendapat kelulusan sebelum memulakan projek.
Sementara itu, wakil pemilik tanah yang diamanahkan oleh
datuk lembaga, Wahid Abd Hamid berkata, pemilik tanah telah lama bersabar dan
memberi peluang kepada pengusaha untuk tangani masalah berbangkit.
“Namun pengusaha tidak mengendahkan terutama soal surat
perjanjian dan pembayaran sewaan tanah. Saya mendapati, dua pemilik tanah tidak
mendapat bayaran dan pengusaha guna tanah mereka tanpa kebenaran.
“Soal pembayaran pula tidak sistematik dan hanya hantar
wakilnya untuk bertemu kami.
“Justeru, setelah pelbagai masalah timbul. Kami ambil
keputusan bertemu Penghulu Luak Jempol bagi selesaikan perkara ini,” katanya. - Sinar Online

Comments
Post a Comment