NILAI - Seramai 350 individu ditahan daripada keseluruhan
680 warga asing yang diperiksa dalam Operasi Bersepadu Fasa Tiga di Kawasan
Pusat Perniagaan Nilai 3 di sini hari ini.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8)
Cawangan Khas, Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kesemua yang
ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, Selangor untuk menjalani
proses saringan.
“"Seperti operasi lepas, kita akan membawa kesemua
warga asing balik ke IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Sepang (Selangor). Di sana
kita akan buat saringan melibatkan pelbagai pangkalan data melibatkan Interpol,
Foreign Terrorist Fighter (FTF) List, Counter Terrorist List, Cawangan Khas,
Jabatan Imigresen Malaysia dan juga agensi-agensi perisikan asing yang
mempunyai senarai lengkap tentang mana-mana individu yang terlibat dalam
aktiviti keganasan.
"Walaupun dokumen mereka lengkap di sini, walaupun
mereka mempunyai pasport yang masih sah tapi kita perlu membawa mereka balik ke
IPD Sepang untuk semakan pangkalan based," katanya kepada pemberita
selepas operasi tersebut.
Beliau berkata keputusan lengkap saringan kesemua mereka
yang ditahan hanya akan diperolehi pagi esok.
Ayob Khan berkata Nilai 3 dipilih sebagai lokasi operasi
selepas pihaknya mendapat maklumat daripada pasukan perisikan bahawa elemen
pengganas Islamic State (IS) wilayah Khorasan yang berpangkalan di Pakistan dan
Afghanistan, kini disyaki telah berpindah daripada Masjid India, Kuala Lumpur
ke Nilai 3 selepas operasi yang sama dijalankan Isnin lepas.
“Lokasi Nilai 3
dipilih kerana sasaran tangkapan adalah warga asing dari negara Pakistan,
Afghanistan, Bangladesh dan Nepal yang disyaki ada kaitan dengan kumpulan IS
Wilayah Khorasan. Kemungkinan warga negara-negara ini terlibat dalam IS
Khorasan adalah tinggi,” katanya.
Ayob Khan berkata pihaknya bimbang sekiranya terdapat
elemen-elemen IS wilayah Khorasan cuba menyusup masuk dengan bersembunyi
bersama pekerja-pekerja warga asing daripada Pakistan dan Afghanistan yang
bekerja di kawasan Nilai 3.
Operasi yang berlangsung selama empat jam bermula 2
petang itu di 1,018 premis dan kedai di seluruh kawasan Nilai 3 itu turut
menemui empat bilah parang panjang yang disimpan di sebuah premis menjual
karpet.
"Kalau kita ikut logik kenapa perlu kedai yang
menjual karpet menyimpan pedang dan parang panjang macam pedang samurai. Kita
yakin ia mungkin digunakan untuk menyerang sebagai keselamatan apabila
ditangkap," katanya sambil menambah barangan tersebut dirampas untuk
siasatan.
Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan lanjut ke atas
kesemua warga asing yang ditahan itu kelak akan dipecahkan kepada tiga bahagian
iaitu kesalahan yang akan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah
Khas) 2012 (SOSMA), jika melakukan kesalahan keselamatan.
“Kalau kesalahan Imigresen, kita akan serah kepada
Jabatan Imigresen untuk tindakan susulan seperti kesalahan tinggal lebih masa
atau salah guna pas dan lagi satu dibawah kesalahan-kesalahan lain, mungkin ada
senjata api, pedang dan sebagainya, kita akan serah kepada IPD berkenaan untuk
membuka kertas siasatan," katanya.
Sebelum ini operasi yang sama pernah dilaksanakan di
Masjid India pada Isnin lepas dan Cyberjaya pada Rabu yang bertujuan bagi
menjejaki warga asing yang disyaki ada kaitan dengan kegiatan keganasan
menjelang temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.
Operasi di Nilai 3 disertai seramai 321 pegawai dan
anggota terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA),Unit Tindakan Khas, Pasukan
Simpanan Persekutuan (FRU), Unit Forensik, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan
Trafik (JSPT), Unit K9, Unit Pemusnah Bom (UPB), Lembaga Perlesanan Tenaga Atom
(AELB), Jabatan Imigresen, JPN, Unit Udara Polis DiRaja Malaysia dan Angkatan
Pertahanan Awam Malaysia (APM). - Bernama

Comments
Post a Comment