Aksi jurubahasa isyarat terjemah ucapan curi tumpuan

SEREMBAN – Puteri Umno Seremban menonjolkan kelainan apabila menggunakan khidmat jurubahasa isyarat pada perasmian mesyuarat pergerakan berkenaan yang berlangsung di Wisma Umno Negeri Sembilan, Seremban, kelmarin.


Keunikan ditampilkan bukan sahaja mencuri tumpuan pihak media, malah turut menarik minat Ketua Puteri Umno, Mas Ermieyati Samsudin yang hadir selaku tetamu kehormat.
"Saya terperanjat apabila berucap tadi, ada seorang jurubahasa isyarat berdiri di depan dan menterjemahkan segala ucapan saya.
"Ini satu perkara yang cukup unik dan merupakan pendekatan amat baik. Ia telah merapatkan jurang antara kita dengan OKU," katanya.
Walaupun Puteri Umno mempunyai ahli dalam kalangan OKU, usaha sebegitu belum pernah dibuat sebelum ini.
"Memang daripada awal, saya minta Puteri rapatkan diri dengan OKU kerana mereka juga mempunyai keistimewaan tersendiri.
"Inilah yang dikatakan kita tidak memilih sesiapa untuk bersama dengan kita," katanya.
Sementara itu, Ketua Puteri Umno Seremban, Zabedah P Mastar berkata, pihaknya berasa bertuah kerana mempunyai ahli jawatankuasa yang memiliki kemahiran menggunakan bahasa isyarat.
Individu terbabit merupakan ketua penerangan mereka sendiri iaitu Roraziah Mohamad, 31, atau lebih mesra dengan panggilan Azie.
"Mula-mula, Azie cuma borak-borak kosong dengan kita pasal rancangan dia. Sudah lama. Kita tahu dia jurubahasa. Tapi tidak pelawa kita, sebab masa itu dia sedang bekerja dengan kerajaan.
"Dua tiga tahun kemudian, baru kita terfikir kenapa tidak libatkan OKU memandangkan sudah ada jurubahasa.
"Sedangkan golongan OKU pun berminat, cuma mereka tidak yakin berdepan dengan kita akibat masalah komunikasi," katanya.
Justeru sebagai permulaan, katanya, mereka membuat percubaan semasa pelancaran jentera pilihan raya Puteri Umno Seremban pada awal tahun ini.
"Mereka suka sebenarnya, sebab tidak pernah ada dalam politik. Jadi, mereka tidak tahu perjalanan politik.
"Melalui cara ini, mereka dapat pendedahan sedikit demi sedikit. Mereka sebenarnya boleh membantu dalam jentera pilihan raya.
"Selepas ini, kita juga bercadang buka kelas bahasa isyarat untuk ahli. Sekurang-kurangnya, kita boleh berkomunikasi secara asas," katanya.
Walaupun berpengalaman sebagai jurubahasa isyarat sejak 2005, ucapan berbentuk politik bukanlah perkara yang mudah untuk diterjemahkan.
"Bahasa politik lain sedikit sebab ada istilah tertentu. Cabarannya, saya kena olah balik ucapan tersebut sampai mereka betul-betul faham.
"Memang lega bila selesai tugas, Alhamdulillah. Saya rasa sudah laksanakan tanggungjawab untuk beri pendedahan pada OKU.
"Sebab sebelum ini, mereka tidak tahu apa-apa. Hanya dengar daripada berita dan sebagainya," ujar Azie yang merupakan ahli Persatuan Jurubahasa Isyarat Malaysia.
Bagi salah seorang peserta, Farah Azira Mohd Nor, 27, pengalaman mengikuti program berkenaan disifatkan cukup berharga.
"Hari ni baru dapat didedahkan dengan aktiviti macam ni. Sebelum ni tak ada siapa beri peluang untuk saya ikut serta.

"Selepas ni kalau ada apa-apa program yang boleh bantu saya berkomunikasi dua hala, Insya-ALLAH saya akan ikut," katanya yang dibantu oleh Azie untuk berkomunikasi dengan Sinar Harian.

Comments