SEREMBAN – Meskipun berdepan dengan tekanan ekonomi,
namun keprihatinan rakyat Malaysia jelas masih menebal.
Buktinya selepas sehari tular di laman sosial berkenaan
derita ditanggung seorang wanita yang masih dalam pantang di Kampung Bahagia
Jiboi di sini, banyak bantuan diterimanya.
Kunjungan Sinar Harian ke rumah ibu mertua kepada wanita tersebut
bersama ADUN Ampangan, Datuk Abu Ubaidah
Redza dan pemimpin masyarakat di situ mendapati bantuan yang paling banyak
diterima ialah lampin pakai buang.
Bagaimanapun wanita itu telah dihantar ke Hospital Tuanku
Jaafar Seremban (HTJS) untuk mendapatkan rawatan berhubung masalah penyakit
kulit kritikal yang dihidapinya menyebabkan dia tidak dapat menyusukan anaknya
yang berusia 29 hari.
Menurut ibu mertuanya, Sarah Yusof,80, anak lelaki dan
menantu serta lapan cucunya berusia antara 12 hingga 29 hari menetap di situ
sejak dua tahun lalu.
“Sebelum ini dia duduk rumah sewa, tapi banyak kali
berpindah dan sekarang mereka tinggal bersama saya. Anak lelaki saya itu pula
kerja tak menentu dan menantu saya pula suri rumah.
“Saya pun terkejut sejak semalam (kelmarin) banyak orang
datang rumah bagi bantuan terutamanya lampin pakai buang,”katanya.
Sementara itu Abu Ubaidah berkata, sebagai wakil rakyat
beliau sangat mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana NGO untuk membantu
golongan kurang bernasib baik.
Namun beliau berharap, mereka dapat berhubung dengan
pemimpin masyarakat di kawasan itu atau pejabat Adun bagi mengelakkan berlaku
salah faham sehingga memberi persepsi negatif kepada kerajaan. - Sinar Online

Comments
Post a Comment