| Mangsa kini masih kritikal. Gambar kecil: Muhammad Nur Arif |
SEREMBAN - “Saya serahkan kepada polis untuk jalankan siasatan. Cuma saya harap orang ramai dapat hentikan spekulasi. Doakan anak saya selamat," kata Abd Rahim Omar, 59, bapa kepada seorang remaja yang menjadi mangsa langgar lari di persimpangan lampu isyarat Jalan Tok Dagang, Paroi, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, Muhammad Nur
Ariff, 16, dikatakan dilanggar lari sebuah kereta jenis Nissan ketika
menunggang motosikal.
Kejadian
mengakibatkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panchor itu
cedera parah pada kepala dan kini dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ)
serta dilaporkan kritikal.
Menurut Abd Rahim, ketika kejadian, anak bongsunya itu
dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Bukit Margosa, di sini selepas
berjumpa kawannya di sekitar Paroi.
“Selepas solat Maghrib, dia minta izin nak keluar jumpa
kawan main futsal. Tapi tak sampai satu jam, ada kawan dia datang ke rumah
serahkan telefon bimbit.
“Saya tanya kenapa.
Katanya itu telefon Arif (Muhammad Nur Ariff), dia kemalangan. Saya dan
isteri terus ke tempat kejadian tapi sebaik sampai, anak saya dah dibawa ke
hospital,” katanya.
Pesara tentera itu berkata, dia mengetahui anaknya
menjadi mangsa langgar lari apabila menerima mesej menerusi WhatsApp yang
dikongsi jiran dan kenalan anaknya.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak mahu membuat tuduhan
melulu dengan menyalahkan pemandu kenderaan itu semata-mata, sebaliknya
menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.
“Saya tak tahu hujung pangkal kejadian ini dan tak boleh
nak terus salahkan pemandu kereta itu. Mungkin kejadian berlaku disebabkan
salah anak saya.
“Tapi memanglah orang akan cakap kejadian itu langgar
lari sebab pemandunya terus menghilangkan diri dan bukannya terus berada di
lokasi atau membantu menghantar anak saya ke hospital.
"Sekarang ini saya hanya serah pada polis,” katanya
ketika ditemui di HTJ, di sini, semalam.
Pada masa sama, Abd Rahim mengucapkan terima kasih kepada
orang ramai yang prihatin termasuk polis kerana menjalankan siasatan sehingga
dapat mengesan pemilik kenderaan terbabit.
Insiden kemalangan itu turut menjadi tular di laman
sosial sehingga mendapat pelbagai reaksi netizen yang mengharapkan pemandu
kereta berkenaan menyerah diri.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten
Komisioner Thiew Hock Poh berkata, pemandu kereta terbabit sudah pun membuat
laporan di Balai Polis Trafik Seremban 2.
“Berdasarkan keterangan, dia tidak memberhentikan
kenderaan dan terus beredar kerana ada sekumpulan motosikal cuba mengejarnya
selepas kejadian itu.
“Pemandu kereta itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. –
Sinar Online
Comments
Post a Comment