SEREMBAN – Seorang bapa merayu pihak berkaitan membantu
menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh anaknya yang didakwa kerap dibuli oleh
guru sekolahnya.
Bapa, Abdul Halim Mohamed, 49, berkata anaknya yang bakal
menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) itu trauma dan takut pergi
sekolah kerana sering dipukul tanpa sebab oleh guru kelasnya.
Dia mendakwa guru lelaki berkenaan kerap mengetuk kepala
dan menampar pipi anaknya itu walaupun anaknya tidak melakukan sebarang
kesalahan.
Menurutnya, bukan anaknya sahaja dibuli, bahkan hampir
semua murid dalam kelas itu selalu dipukul, tetapi segelintir murid takut
mengadu kepada ibu bapa mereka.
“Pada mulanya anak saya mengadu kerap dipukul guru
kelasnya, saya menganggap itu perkara biasa dan mungkin dia ada buat salah,
atau tidak membuat kerja sekolah yang diberi oleh guru.
Tetapi apabila setiap hari anak saya mengadu benda yang
sama, saya yakin ada yang tidak kena dengan guru berkenaan.
“Bagi mendapatkan penjelasan daripada guru itu, saya
pergi ke sekolah tersebut dan berjumpa dengan guru besarnya, dan meminta untuk
bersemuka dengan guru berkenaan, tetapi guru itu tidak hadir pada hari yang
ditetapkan untuk berjumpa dengan saya,” ujar Abdul Halim.
Dia percaya kes itu tidak akan selesai selagi dia dan
guru besar tidak bersemuka dengan guru
tersebut.
“Saya hanya mahu tahu mengapa cikgu itu suka menggunakan
fizikal dan emosi untuk menghukum muridnya, selain sering mengeluarkan
kata-kata kesat sehingga menyebabkan anak saya trauma dan terganggu emosinya,”
katanya.
Menurut Abdul Halim, keadaan menjadi lebih serius apabila
guru berkenaan turut memalukan anaknya melalui pembesar suara selepas aduan
kepada guru besar dan laporan polis dibuat.
“Sebagai seorang guru adakah patut dia mengaibkan anak
saya dengan menggunakan pembesar suara dan menyebabkan semua orang dalam dewan
sekolah itu dengar?
Saya tidak berpuas hati dengan sikap guru berkenaan.
Sepatutnya sebagai seorang pendidik dia perlu lebih bersikap rasional,
berkelakuan lebih bijak dan tidak melakukan sesuatu mengikut perasaan.
“Jika anak saya ada buat salah atau buat kes di sekolah
bolehlah dia menghukum atau memukul anak saya, tetapi setelah disiasat anak
saya tidak pernah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan peraturan sekolah,”
katanya kepada Sinar Harian semalam.
Katanya, segala aduan dan laporan secara bertulis telah
dibuat kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan dan Kementerian Pelajaran
Malaysia, bagi mengambil tindakan susulan berkenaan salah laku guru berkenaan
yang membawa budaya gangsterisme di sekolah itu.
Menurut Abdul Halim, anaknya dan kawan-kawan sekelas yang
lain sehingga kini masih lagi dipukul dan dilempang sesuka hati.
Terbaru, katanya, seorang murid lelaki bengkak di kepala
oleh guru itu kerana dipukul dengan surat khabar yang digulung.
Menurut Abdul Halim, laporan polis serta kesihatan sudah
dibuat dan pihaknya tidak teragak-agak untuk membawa kes ini ke muka
pengadilan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan
Negeri, Pkharudin Ghazali berkata, pihaknya sedia maklum dengan kes tersebut
dan siasatan telah pun dilakukan.
Katanya, guru tersebut telah pun diberi teguran tentang
etika sewaktu menguruskan murid, serta mematuhi prosedur operasi standard
(SOP).
“Sehubungan dengan itu, jabatan, Pejabat Pendidikan
Daerah dan pihak sekolah serta penjaga akan mengadakan pertemuan bagi mencari
jalan penyelesaian untuk meningkatkan potensi diri murid,” katanya. – Sinar Online
Comments
Post a Comment