Denda tidak kibar Jalur Gemilang

KUALA PILAH – Pemilik premis dan peniaga di Bandar Kuala Pilah disaran mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang sambutan bulan kemerdekaan, atau boleh berdepan tindakan denda mahu pun hukuman jika gagal berbuat demikian.

Pegawai Daerah Kuala Pilah, Syahrul Nizam Saleh berkata, walaupun tiada undang-undang khusus untuk disabitkan kesalahan itu, tetapi hukuman yang dilaksanakan adalah suatu tindakan yang dibenarkan undang-undang.
Menurutnya, ia bukanlah hukuman yang berat dan salah di sisi perundangan, sebaliknya dilakukan sebagai usaha memberi kesedaran kepada mereka.
“Selain itu, apa yang kita lakukan ini semata-mata untuk memupuk semangat cintakan tanah air terutama dalam kalangan peniaga serta pemilik premis perniagaan.
“Malahan mereka telah menerima Jalur Gemilang secara percuma. Jadi sewajarnya mereka mengambil inisiatif mengibarkan Jalur Gemilang tepat pada waktunya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program penyerahan Jalur Gemilang sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-60 kepada premis perniagaan di sekitar bandar Kuala Pilah, semalam.
Ujar Syarul Nizam, bagi menjayakan sambutan bulan kemerdekaan, sebanyak 300 bendera diberikan kepada premis perniagaan di sekitar bandar ini.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Seri Hasan Malek berkata, sehingga kini sebanyak 1,000 Jalur Gemilang dipasang di sepanjang laluan utama Seremban – Kuala Pilah.
“Kita bercadang memasang lebih banyak lagi di kawasan yang tertentu bagi memeriahkan suasana sambutan Hari Kemerdekaan.
“Saya difahamkan Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) dan jabatan kerajaan lain akan menambah sebanyak 2,000 Jalur Gemilang lagi untuk dipasang di lokasi terpilih khususnya di jalan utama menuju ke bandar Kuala Pilah.
“Selain itu, bagi memastikan kejayaan kempen Kibar Jalur Gemilang di daerah ini berjaya, penyerahan bendera ini akan diteruskan kepada peringkat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)," katanya.
Hasan berkata, penyerahan di peringkat kampung bagi memastikan bendera Malaysia ‘membanjiri’ seluruh daerah.
Menurutnya, bagi meneruskan kesinambungan program ini, pertandingan Kibar Jalur Gemilang dan Keceriaan Peringkat Negeri Sembilan sempena Hari Kebangsaan 2017 juga sedang berlangsung.
“Program ini mula dilaksanakan pada tahun lalu membabitkan agensi kerajaan, swasta dan individu.
“Sebanyak 12 kategori dipertandingkan seperti bangunan kerajaan, bangunan swasta, persekitaran kampung, sekolah, taman perumahan, rumah kediaman (persendirian), taman perumahan, pintu gerbang, anjung komuniti 1Malaysia, masjid, surau, lain-lain rumah ibadat dan kenderaan.
“Ia menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM29,000 kepada pemenang. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 7 Ogos 2017,” katanya.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok. - Sinar Online

Comments