SEREMBAN - Kemeriahan Medan Selera Ampangan di sini yang
dahulunya dipenuhi pengunjung tidak kira pagi atau malam kini jauh berbeza.
Entah di mana silapnya, tempat yang sebelum ini popular
untuk makan tengah hari dalam kalangan penduduk sekitar semakin kurang menjadi
pilihan pelanggan.
Tinjauan baru-baru ini mendapati banyak gerai ditutup dan
tidak beroperasi serta situasi agak lengang kerana tidak ramai yang singgah di
kawasan itu.
Difahamkan di bangunan bernilai RM8.7 juta yang
mempunyai 60 gerai itu hanya terdapat kurang daripada 20 peniaga yang masih
berniaga, manakala selebihnya sudah tutup dan berpindah ke tempat lain.
Menurut salah seorang peniaga makanan yang tidak mahu
dikenali, walaupun kurang pelanggan dia tiada pilihan lain dan terpaksa
berniaga kerana itu adalah punca pendapatan utamanya.
Katanya, dia berniaga di situ lebih 10 tahun bermula dari
tapak lama di kawasan berhampiran sehinggalah medan selera itu dibuka.
“Fasiliti yang terdapat dalam bangunan cantik dan jauh
lebih baik, cuma saya tidak pasti kenapa pengunjung tidak ramai seperti di
tapak lama dahulu.
“Terdapat banyak gerai dan pilihan makanan di sini dan
dengan persekitaran selesa sepatutnya ia boleh menarik kehadiran pelanggan,”
katanya.
Jelasnya lagi, jumlah pengunjung dari hari ke hari
sema-kin berkurangan namun dia percaya keadaan itu dapat diatasi dengan
mengadakan pelbagai aktiviti promosi atau program tertentu bagi mengembalikan
kemeriahan Medan Selera Ampangan.
“Saya sebagai peniaga di sini sangat mengalu-alukan jika
pembaharuan dilakukan, tetapi biarlah ia dapat memberi keuntungan kepada kedua-dua
belah pihak iaitu peniaga dan pengunjung, “ katanya.
Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Kak
Ziah, 55, mengakui pendapatannya agak terjejas sejak kebelakangan ini.
Beliau juga berasa terbeban dengan kadar sewa gerai
sebanyak RM480 sebulan di medan selera itu dan terpaksa menaikkan harga makanan
untuk menampung kos sewa.
“Sebelum ini saya membayar sewa tidak sampai RM80 sebulan
di gerai lama tetapi di bangunan baharu ini mencapai RM480 sebulan tidak
termasuk bil utiliti lain namun pendapatan tidak setimpal dengan kos tersebut.
“Beberapa peniaga mengambil keputusan menutup perniagaan
sebab mengalami kerugian. Setakat ini saya masih mampu bertahan tetapi tidak
tahu berapa lama lagi.
“Saya harap pihak berkuasa tempatan bekerjasama dengan
peniaga bagi memeriahkan tempat ini dan menarik lebih ramai pengunjung untuk
menjamu selera di sini, “ katanya.

Comments
Post a Comment