Mangsa culik merintih panggil ibu

PORT DICKSON - "Ibu ibu ibu"... Fara memanggil ibu saudaranya yang digelarkan ibu sambil menangis ketika penculik menghuhungi talefon Ayu Aslinda Abdullah, 44, dipercayai beberapa minit sebelum memulangkan kanak-kanak tersebut.
Faralysa Amani Fazil,10, diletakkan berhampiran kedai makan bertentangan dengan pondok kawalan kawasan kediaman keluarganya, di kuaters kakitangan Politeknik Port Dickson sekitar jam 9 malam tadi iaitu selepas hampir 17 jam dilaporkan hilang.
Ayu Aslinda berkata, penculik itu lelaki dan dia hanya bertanyakan "ni siapa?" dengan suara yang agak kasar.
"Saya jawab, Linda... lepas tu terus talefon diberikan kepada Fara dan Fara panggil ibu ibu beberapa kali sebelum panggilan ditamatkan.
"Suasana di sana (tempat Fara) ada dengar beberapa lagi suara lelaki lain dan juga kenderaan lalu lalang," katanya sambil memaklumkan penculik menghubungi talian talefon rumahnya.

Ayu Aslinda berkata, dia memang terkejut menerima panggilan talefon itu.
"Memang akak agak panik ketika itu, kemudian saya terus menghubungi polis, dan polis maklumkan Fara baru sahaja ditemui ditinggalkan di depan Politeknik.
"Saya dari rumah (Telok Kemang) terus ke Politeknik, saya dakap Fara, keadaannya sangat ketakutan dan hanya menangis dan menangis," katanya.
Ayu Aslinda menambah, Fara kemudiannya terus dibawa ke Balai Polis Telok Kemang dan turut di bawa ke hospital.
"Sedih tengok keadaan Fara yang trauma dan ketakutan, dan dalam masa yang sama sangat bersykur Fara ditemui semula.
"Berkat doa semua orang, saya difahamkan, banyak ahli kariah surau dan masjid yang buat solat hajat," katanya.
Ayu Aslinda berkata, kedua-dua pergelangan tangan Fara juga lebam kesan diikat.
"Difahamkan, Fara diturunkan dari sebuah kereta dan kereta tu terus memecut laju meninggalkan kawasan itu menuju ke arah Pasir Panjang," katanya.
Terdahulu, sekitar jam 6.45 pagi semalam, Fazil Abdullah, 35, menyedari anaknya telah tiada di bilik tidurnya ketika mahu mengejutkannya untuk bangun ke sekolah.

Fazil juga mendapati pintu belakang rumahnya terbuka dan duit dalam dompetnya hilang, selepas gagal menemui anaknya, satu laporan polis di buat. – Sinar Online

Comments