KUALA PILAH - Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan
menjadi menteri besar pertama dalam negara ini dilantik sebagai penaung Kadet
Remaja Sekolah (KRS), sekali gus membawa gelaran pangkat Pegawai Kehormat KRS
Malaysia peringkat Negeri Sembilan.
Majlis pentauliahan dan penyampaian watikah pelantikan
itu disempurnakan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof di
Kem Rimba Ilmu L, Juasseh, kelmarin.
Mohamad berkata, beliau menerima pelantikan itu bukan
kerana mengejar pangkat, sebaliknya mahu kebersamaan kerajaan negeri dalam
membina sistem pendidikan yang lebih efisien dan mengangkat negeri ini sebagai
lembah ilmu.
“Saya terima watikah ini, walaupun saya bukan warga
pendidik tapi saya sentiasa ambil berat akan kelangsungan dan keberhasilan
bidang pendidikan di negeri ini.
“Begitu juga penglibatan anak muda dalam pasukan badan
beruniform yang mampu bawa perubahan dalam diri pelajar,” katanya.
Mohamad yakin aktiviti kokurikulum terutama badan
beruniform dapat membentuk karakter pelajar yang unggul dari segi jati diri,
disiplin, integriti dan kepimpinan.
“Jati diri anak muda dilihat semakin tipis ketika kita
berdepan dengan cabaran abad ke-21. Mereka dilihat kurang cintakan negara dan
semangat sukarelawan.
“Namun menerusi penglibatan badan beruniform, warga
pendidik dapat melahirkan barisan kepimpinan yang mantap dan mempunyai
kemahiran serta pengetahuan dalam semua aspek.
“Malah, simbol kepada rasa cinta kepada tanah air itu
tidak berbelah bahagi dan semangat perpaduan diterapkan kerana setiap badan
beruniform ini melibatkan pelbagai bangsa,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohamad menyarankan ibu bapa
menggalakkan anak-anak untuk menyertai kegiatan kokurikulum dalam usaha
melahirkan modal insan yang cemerlang.
“Saya tahu, ibu bapa kurang suka jika anak mereka sertai
kokurikulum, bimbang akademik tercicir tapi sebenarnya stigma itu salah sama
sekali.
“Ini kerana,
keseimbangan itu perlu dalam mendidik anak pada masa kini. Akademik dan
kokurikulum perlu seiring untuk melahirkan generasi yang cerdik serta memiliki
aura kepimpinan.
“Kita tak mahu berlaku lambakan graduan ijazah tetapi
kurang dari segi keperibadian, jati diri serta akhlak yang sempurna,” katanya. –
Sinar Online

Comments
Post a Comment