SEREMBAN - Mekanisme khusus untuk menangani harga durian
yang melambung tinggi di pasaran perlu diwujudkan bagi membolehkan raja buah
berkenaan dinikmati orang ramai tanpa terlalu terbeban dari segi kewangan.
Exco Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan,
Datuk Hasim Rusdi berkata, pelbagai alternatif boleh dilaksanakan oleh pihak
berautoriti, misalnya mengenakan had terhadap jumlah eksport durian yang
dibenarkan ke luar negara.
“Cadangan saya, tetapkan peratus tertentu bagi durian
yang boleh dieksport dan peratus tertentu untuk kegunaan dalam negara.
“Pengkhususan perlu diberikan terhadap durian yang
bermutu tinggi seperti Musang King dan Udang Merah.
“Hakikatnya,
memang pengusaha lebih berminat bawa durian sebegitu untuk pasaran luar negara
sebab amat menguntungkan.
“Tapi kena juga
beri keutamaan pada penduduk tempatan untuk merasai keenakannya, memandangkan
mereka tanam durian itu di Malaysia,” katanya.
Seterusnya, kata beliau, tetapkan harga siling bagi
mengekang kenaikan harga melampau.
“Seeloknya ikut keupayaan kuasa beli rakyat dalam negara.
Bagi saya, harga yang masuk akal sekitar RM40 ke bawah. Kalau sampai RM140
sekilogram, mana mampu.
“Saya sendiri
sudah terkena beberapa bulan lalu. Beli durian Musang King dalam 100 kilogram.
Tengok-tengok bila hendak bayar, harga sekilogram RM85,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menyifatkan pemberian
subsidi kepada pekebun sebagai langkah kurang wajar.
“Bila beri subsidi pada pekebun untuk tanam lebih banyak
pokok durian, nanti lagi banyak yang dieksport.
“Tanpa penetapan had eksport dan harga siling,
kesudahannya pasti sama saja. Lagipun, sampai bila hendak beri subsidi? Itu
persoalannya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas
menyempurnakan perasmian program Kem Nak Sihat anjuran Pejabat Kesihatan Daerah
Seremban dengan kerjasama 19 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung
(JKKK) dalam Dun Labu di Balairaya Kampung Labu Hilir, di sini, semalam.
Sinar Harian melaporkan sebelum ini, Timbalan Menteri
Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata,
kekurangan bekalan untuk pasaran dalam negara mengakibatkan harga melambung, di
mana kebanyakan durian tempatan dijual di negara seperti China dan Singapura. –
Sinar Online


Comments
Post a Comment